JDT pelbagaikan corak serangan namun gagal tembusi KDA
ALOR SETAR - Juara Liga Super 2021, Johor Darul Ta'zim (JDT) FC mengakui sukar untuk mengatasi corak permainan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada suku akhir pertama Piala Malaysia 2021 di Stadium Darul Aman, pada Ahad.
Menurut pengendalinya, Benjamin Mora, KDA FC bermula dengan baik dan tersusun sehingga menyukarkan pemain-pemainnya menembusi pertahanan yang dibentuk oleh pasukan tuan rumah sehingga keputusan terikat tanpa jaringan.
"Kami cuba mempelbagaikan corak serangan dan kombinasi untuk melakukan serangan beberapa kali tetapi masih belum berjaya juga.
"Kami terpaksa kembali ke Johor Bahru dengan keputusan 0-0 dan kami akan cuba yang terbaik di laman sendiri pula pada suku akhir kedua," katanya dalam sidang media di Stadium Darul Aman pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mora berkata, Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak telah melakukan tugasnya dengan baik untuk mendatangkan kesukaran untuk pasukannya mendapatkan bekalan gol di Alor Setar.
"Kelebihan masih berpihak kepada kami apabila beraksi di Stadium Sultan Ibrahim nanti," ujarnya.
Tambah Benjamin, beliau turut mengagumi kualiti beberapa pemain muda tuan rumah seperti Aiman Afif Afizul dan juga Asnan Ahmad yang mempamerkan kualiti baik membantu pasukan tersebut merencanakan serangan ke kubu pasukannya.
"Pemain senior KDA FC seperti Baddrol Bakhtiar juga mempunyai kualiti yang baik kerana dia tahu bagaimana untuk memacu pasukannya semasa perlawanan berlangsung," katanya lagi.
Sementara itu, Aidil Sharin berkata, dia memuji usaha yang diberikan oleh pemain-pemain yang diturunkan selepas berjaya mengalas tugas beberapa pemain utama yang tidak dapat diturunkan pada perlawanan tersebut.
Tanpa kelibat Rabih Ataya dan K Anumathan yang terlibat dengan tugasan negara masing-masing manakala Tchetche Kipre yang cedera, pemain-pemainnya yang lain masih mampu mengekang asakan pasukan pelawat.
"tanpa tiga pemain import memang bukan mudah untuk menghadapi sebuah pasukan berkualiti seperti JDT namun pemain berjaya menyaingi mereka walaupun tiada jaringan pada malam ini.
"Kami berharap dapat melakukan sesuatu nanti di laman lawan pada suku akhir kedua. Kipre akan kembali semula selepas ini dan diharap dia dapat membantu barisan hadapan bersama Kpah Sherman di bahagian serangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!