Nelayan di Pantai Puteri kesal dianaktirikan

Nelayan Pantai Puteri harap nasib mereka mendapat pembelaan. Gambar kecil : Sajahan, Azmi .
Nelayan Pantai Puteri harap nasib mereka mendapat pembelaan. Gambar kecil : Sajahan, Azmi .
A
A
A

MELAKA - Nelayan sekitar Pantai Puteri di Melaka mendakwa kesal kerana sehingga sekarang nasib hampir 100 nelayan berdaftar kawasan tersebut seperti 'dianaktirikan' serta tidak mendapat pembelaan.

Ketua Jaringan Nelayan Pantai Puteri, Azmi Leman,53, berkata, masalah korek pasir dan kapal berlabuh di lokasi tempat nelayan mencari rezeki sehingga kini belum selesai.

"Nelayan tidak menolak pembangunan namun biarlah pembangunan tersebut tidak mengetepikan hak nelayan untuk mencari rezeki di kawasan itu.

Tiada siapa berani bela nasib nelayan.

Siapa sebenarnya berada di laut terlebih dahulu, nelayan atau kapal besar itu?

Mengapa nelayan pula yang menjadi mangsa," katanya.

Tambah Azmi, seharusnya setiap projek pembangunan dan projek pembinaan di laut perlu diadakan sesi perbincangan bersama nelayan kerana sekurang-kurangnya mereka yang terjejas punca pendapatan boleh mendapat pembelaan.

"Sekurang-kurangnya beri peluang kepada nelayan untuk membuat pilihan, contoh mereka boleh beri tawaran A iaitu pampasan RM100,00 dengan syarat tidak boleh turun ke laut seumur hidup atau tawaran B RM50,000 iaitu nelayan boleh turun ke laut dengan syarat tertentu namun segala kerosakan ditanggung sendiri, jadi, nelayan boleh buat pilihan.

Artikel Berkaitan:

'Tetapi apa yang berlaku sekarang, bukan hanya menjejaskan periuk nasi nelayan serta sumber tangkapan nelayan semakin berkurangan.

Sampai bila masalah ini hendak selesai," katanya.

Bagi Sajahan Mohamed, 64, pula, dia sebagai nelayan mahu mengetahui tempoh kerja-kerja korek pasir di kawasan Pantai Puteri itu dilakukan.

Menurutnya, tidak mustahil Pantai Puteri akan berlumpur sekiranya kerja-kerja berkenaan diteruskan dan ini secara tidak langsung menjejaskan sumber pendapatan nelayan.

"Dulu Pantai Klebang cantik, namun apabila kerja-kerja mengorek pasir dan penambakan dilakukan, ia sudah ada lumpur.

"Kami bimbang lumpur menjejaskan benih-benih udang kerana sukar membiak hingga akhirnya pupus," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!