Isteri maut, suami cedera parah motosikal langgar babi
KUALA PILAH - Seorang wanita maut selepas motosikal yang diboncengnya bersama suami terbabas dipercayai selepas terlanggar seekor babi ketika dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum terbabas di Kilometer 2 Jalan Air Mawang-Renggoh di sini, pada pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, dalam kejadian pada jam 8.15 pagi itu, Norlela Mohamed Sharif, 35, membonceng motosikal jenis Suzuki Smash yang ditunggang oleh suaminya, Karim Amrullah Ab Maid, 40,
"Wanita tersebut maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala suaminya yang juga mengalami cedera parah di kepala telah dibawa ke Hospital Tampin.
"Siasatan awal mendapati pasangan suami isteri tersebut dari rumah mereka di Kampung Melekai, Johol menuju ke tempat kerja di kedai makan di Kampung Air Mawang.
"Sebaik sahaja sampai di tempat kejadian, motosikal mereka telah melanggar seekor binatang dipercayai babi yang sedang melintas menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh di atas jalan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Pilah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!