13 calon Bebas tandatangani akuan bersumpah

Calon-calon Bebas bagi PRN Melaka yang sudah menandatangani SD di Menara Persekutuan di Ayer Keroh pada Isnin.
Calon-calon Bebas bagi PRN Melaka yang sudah menandatangani SD di Menara Persekutuan di Ayer Keroh pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Seramai 13 calon Bebas di bawah Gagasan Bebas menandatangani akuan bersumpah (SD) tidak akan menyertai mana-mana parti politik sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Sekretariat Setiausaha Gagasan Bebas, Mohammad Zaki Omar berkata, menerusi aku janji tersebut, calon tidak boleh mencabuli mandat yang diberikan pengundi dengan beralih kepada parti politik lain apabila menjadi wakil rakyat.

Beliau berkata, sekiranya keadaan itu berlaku, mereka perlu mengosongkan kerusi dan melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam tempoh tiga hari dari tarikh melompat parti.

Menurutnya, biarpun tidak ada mana-mana peruntukan perlembagaan atau perundangan di peringkat persekutuan atau negeri supaya mengosongkan kerusi, namun mereka perlu akur kerana ia sudah terkandung dalam SD yang ditandatangani.

"Aku janji ini di atas kerelaan calon-calon bagi tujuan melaksanakan amanah dan mandat yang diberikan pengundi pada PRN ini.

"Namun, sekiranya calon ingkar dengan aku janji tersebut, pengundi kawasan itu berhak memfailkan tindakan di Mahkamah Tinggi Melaka bagi tujuan perolehan Perintah Deklarasi bagi mengosongkan kerusi serta pelepasan jawatan sebagai ADUN," katanya ketika ditemui di Menara Persekutuan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini pada Isnin.

Mohammad Zaki berkata, calon-calon juga bersetuju bahawa mereka tidak berhak untuk membantah atau membuat sebarang pembelaan sekiranya arahan mengosongkan kerusi itu dikeluarkan.

"Kita berharap dengan SD yang ditandatangani oleh calon-calon Bebas ini, rakyat akan lebih yakin untuk mengundi mereka pada 20 November ini. Calon-calon di bawah gagasan ini akan membentangkan manifesto pada Selasa," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian baru-baru ini melaporkan, seramai 15 daripada 22 calon Bebas yang bertanding bersetuju mewujudkan Gagasan Bebas bagi menghadapi kempen PRN Melaka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!