Lebih 82 peratus kenderaan PDRM uzur akan ditukar
SEREMBAN- Lebih 82 peratus kenderaan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang didapati melebihi had usia penggunaan yang ekonomik akan ditukar dari masa ke masa.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, namun dalam melaksanakan tanggungjawab, pihaknya tetap menjaga kenderaan itu dengan baik dengan melakukan penyelenggaraan mengikut masa yang ditetapkan.
"Kenderaan itu masih boleh digunakan walaupun melebihi had usia, bagaimanapun kita akan tukar secara berperingkat mengikut kemampuan dan bajet kerajaan," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja dan menyerahkan kenderaan pasukan di Sekolah Latihan Kontinjen, IPK Negeri Sembilan, Seremban pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tambahan pula, pengurusan aset yang sudah berusia dan uzur bukanlah perkara yang mudah malah tempoh penggunaannya kebanyakannya melebihi 15 hingga 20 tahun.
Mazlan pada majlis sama telah menyerahkan 16 buah kenderaan jenis Toyota Hilux GS Cargo dan sembilan buah van Go Auto Higer Ace.
Sementara itu, Mohamad dalam ucapannya melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pucuk pimpinan tertinggi PDRM kerana sentiasa peka dan sedar akan keperluan dan masalah logistik di kontinjen Negeri Sembilan ini.
"Kita berharap agar usaha-usaha penambahbaikan yang sedang dilaksanakan akan diteruskan, malah dipertingkatkan lagi bagi memenuhi harapan masyarakat terhadap PDRM.
"Masyarakat sentiasa mahukan perkhidmatan yang berkualiti, cepat dan tepat.
"Sebagai warga PDRM, kita perlu merancang dengan lebih rapi dan teliti dalam usaha menyediakan perkhidmatan yang menjangkaui ekspektasi serta kehendak masyarakat secara berkesan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!