Rasuah: Bekas penjawat awam mengaku salah
JOHOR BAHRU - Seorang bekas penjawat awam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM30,000, dua tahun lalu.
Tertuduh, Ismail Busrah, 39, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun selepas pertuduhan dibacakan ke atas oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai Penolong Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Johor telah menerima untuk dirinya wang tunai RM30,000 dengan tiada balasan yang mana diketahui ada hubungan dengan tugas rasminya sebagai pegawai penyelia projek di RAPID, Pengerang.
Kesalahan itu dilakukan antara jam 2.15 hingga 2.30 petang di lampu isyarat jalan menghala Jalan Lingkaran Dalam, di sini, pada 31 Oktober 2017.
Ismail dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman dikurangkan kerana itu merupakan kesalahan pertama dan dia telah menyesali perbuatan itu.
Tertuduh juga memaklumkan dia merupakan seorang pekerja cemerlang yang telah menerima dua anugerah sepanjang menjadi seorang penjawat awam selain menanggung ahli keluarganya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM50,000 dan sekiranya gagal bayar denda tersebut, akan dikenakan hukuman penjara 14 bulan.
Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohammed Heikal Ismail, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!