Kedah peruntuk RM1.4 juta untuk tabung bantuan perubatan

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Hayati Othman
Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Hayati Othman
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta di bawah Tabung Bantuan Perubatan Sejahtera (BPS) Negeri Kedah dalam tempoh tiga tahun sejak 2019 untuk Jabatan Kerja Sosial Perubatan/Unit Kerja Sosial Perubatan bagi hospital dan pejabat kesihatan daerah di Kedah.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Hayati Othman berkata, tabung bantuan untuk pesakit memerlukan yang diwujudkan pada 2019 ini dahulunya dikenali sebagai Tabung Bantuan Pesakit Kronik Negeri Kedah.

Katanya, sebanyak enam fasiliti kesihatan menerima peruntukan kewangan iaitu Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Hospital Kulim, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Hospital Sultanah Maliha, Pejabat Kesihatan Daerah Pendang dan Pejabat Kesihatan Daerah Kulim.

"Sehingga kini, Jabatan Kerja Sosial Perubatan/ Unit Kerja Sosial Perubatan HSB telah menerima peruntukan sebanyak RM650,000 dalam tempoh tiga tahun sejak 2019 dan membelanjakan sebanyak RM633,044.05.

"Dalam tempoh sama, HSAH telah menerima peruntukan sebanyak RM300,000 dan membelanjakan sebanyak RM272,901.47, manakala Hospital Kulim telah membelanjakan sebanyak RM203,524.83 daripada RM300,000 peruntukan diterima," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Isnin.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Dr Ismail Salleh (Amanah-Pengkalan Kundor) berhubung status terkini Tabung Bantuan Pesakit Kronik, jumlah peruntukan tahunan kepada tabung ini, jumlah yang telah digunakan serta kategori bantuan.

Dr Hayati memberitahu, buat masa ini, Klinik Kesihatan Pendang hanya membelanjakan sekitar RM990 selepas menerima peruntukan sebanyak RM50,000 di bawah tabung berkenaan pada tahun ini.

"Bagi peruntukan untuk Hospital Sultanah Maliha dan Pejabat Kesihatan Daerah Kulim, kedua-dua fasiliti ini sedang dalam proses menubuhkan Unit Jawatankuasa Kerja Sosial dan seterusnya membuka akaun bagi menempatkan peruntukan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Selepas proses penubuhan unit jawatankuasa ini selesai dan akaun telah diwujudkan, peruntukan sebanyak RM50,000 akan disalurkan segera untuk kegunaan mereka yang memerlukan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital yang tidak memiliki wang boleh mendapat bantuan melalui khidmat sosial di hospital berkaitan sebelum siasatan dilakukan.

"Insya-ALLAH, mereka akan menerima bantuan. Antara jenis bantuan diberikan di bawah tabung ini, termasuklah peralatan perubatan, susu, duit tambang dan lain-lain," katanya.

Ketika menjawab soalan tambahan Dr Ismail berkaitan usaha memastikan maklumat tentang bantuan sampai kepada golongan sasar, katanya, maklumat tentang tabung BPS ini disediakan bahagian khidmat sosial.

"Malah, informasi tentang bantuan BPS turut dihebahkan kepada pakar perubatan dan kakitangan hospital yang berurusan dengan pesakit bagi membolehkan mereka memerlukan bantuan perubatan mendapat bantuan sewajarnya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!