Keningau dirancang jadi lembah buah-buahan Sabah tahun depan

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I merangkap Ahli Parlimen Jasin Datuk Seri Ahmad Hamzah ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini.- Foto Bernama
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I merangkap Ahli Parlimen Jasin Datuk Seri Ahmad Hamzah ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pertanian Sabah merancang menjadikan Keningau, Sabah sebagai Lembah Buah-buahan yang memberi fokus kepada tanaman pisang, lemon dan avokado bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan pertanian di negeri itu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, projek itu bakal direalisasikan melalui pewujudan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Apin-Apin, Keningau yang dijadual siap tahun depan dengan peruntukan RM2.5 juta daripada kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan melalui Jabatan Pertanian Sabah akan meningkatkan keluasan kawasan TKPM di negeri ini dengan pewujudan empat TKPM iaitu TKPM Sg. Koyah, Kinabatangan Fasa 2, Limbuak Banggi Kudat dan Ulu Bole Sipitang serta dua mini TKPM iaitu mini TKPM Ulu Bongawan dan Serudong, Kalabakan.

“Peningkatan jumlah TKPM dalam tempoh 10 tahun akan datang di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan RMK13 ini akan dapat meningkatkan potensi pengeluaran hasil tanaman di Sabah selaku hab pertanian serantau,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ahmad menjawab soalan Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) yang bertanyakan mengenai langkah diambil Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi mengoptimumkan potensi Sabah sebagai hab pertanian serantau.

Sementara itu, Ahmad berkata, bagi meningkatkan pelaksanaan pertanian pintar di Sabah, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) melaksanakan pemindahan teknologi dalam pertanian moden seperti sistem penanaman secara fertigasi khususnya untuk tanaman rock melon, halia, cili, tomato dan tomato ceri kepada pegawai pengembangan, syarikat-syarikat swasta dan institut pengajian tinggi.

Bagi sektor ternakan pula, beliau berkata MAFI melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah berusaha melaksanakan pertanian pintar menerusi aplikasi teknologi dan kaedah penternakan terkini berteraskan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4).

“Antaranya dengan memperkenalkan sistem penternakan lembu secara integrasi di bawah perladangan kelapa sawit. Aplikasi teknologi moden seperti penggunaan tanda pengenalan Radio Frequency Identification (RFID) turut digunakan dalam sistem penternakan integrasi bagi meningkatkan kecekapan daya jejak dan pemantauan ternakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, selain itu, aktiviti penternakan lembu tenusu juga sedang berkembang pesat di Sabah sehingga menjadi antara negeri pengeluar utama susu segar di negara ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!