Kedah disaran beri perhatian serius terhadap penerokaan mineral
ALOR SETAR - Kerajaan negeri disyorkan supaya memberi perhatian serius terhadap penerokaan mineral 'rare earth elements' (REE) yang bernilai tinggi hingga mampu memberi pendapatan baharu kepada Kedah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau mendapati Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sendiri menyedari potensi mineral unsur nadir bumi tersebut.
"ADUN Jeneri (Muhammad Sanusi) sendiri pernah menyebut mengenai REE pada tahun lepas dengan memberikan angka yang luar biasa.
"Jadi, saya ingin menekankan tentang REE dan usaha meneroka mineral unsur nadi bumi berkenaan harus diberi pertimbangan sewajarnya," katanya ketika sesi perbahasan usul ucapan Bajet 2022 Negeri Kedah ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Isnin.
Mukhriz berkata, beliau menyedari bahawa aktiviti perlombongan mineral merupakan satu kerja yang susah, malah ia mampu memberi kesan kepada alam sekitar.
Bagaimanapun, beliau yakin Kedah yang memiliki hasil negeri rendah mampu menjana pendapatan tinggi sekiranya usaha meneroka mineral dilakukan menggunakan teknologi terkini.
"Sebagai contohnya, negara China yang merupakan pengeluar REE paling besar dan juga merupakan pengguna mineral itu sendiri. Negara itu berdepan pelbagai masalah dan pencemaran ketika meneroka mineral itu," jelas beliau.
Mukhriz berkata, beliau mendapati lama-kelamaan China mampu mengatasi masalah dihadapi mereka ketika meneroka REE dengan teknologi terbaharu iaitu proses larut resap.
"Jadi, saya ingin mencadangkan agar kerajaan negeri memberi perhatian serius bagaimana untuk mengeksploitasi khazanah sumber asli sehingga mampu menjana pendapatan tinggi untuk Kedah yang ketika ini pendapatannya sangat rendah," katanya.
Pada tahun lepas, Muhammad Sanusi mengumumkan negeri itu bakal meneroka REE yang dianggarkan bernilai RM62 billion sebagai sumber baharu.
Difahamkan, mineral jenis REE dan tidak beradioaktif terbabit ditemui di bawah muka bumi Sik dan kawasan Ulu Muda, Baling.
Bagaimanapun, cadangan itu mendapat pelbagai reaksi yang menyokong hasrat Kedah namun ada juga membantah kerana mendakwa ia bakal mencemarkan alam sekitar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!