Sta Maria dilantik semula sebagai pengarah eksekutif sekretariat APEC
DOKTOR Rebecca Fatima Sta Maria telah dilantik semula sebagai Pengarah Eksekutif Sekretariat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) untuk tiga tahun lagi mulai 1 Januari 2022, badan penyelaras dan penasihat teknikal yang bertanggungjawab untuk memajukan inisiatif bersama 21 ekonomi anggota APEC.
APEC dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, keputusan itu diumumkan selepas mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC yang dihoskan oleh New Zealand.
Pengerusi Pegawai Kanan APEC 2021, Vangelis Vitalis berkata, kepimpinan Sta Maria amat penting dalam menerajui Sekretariat APEC melalui krisis global yang paling mencabar, yang mana sokongan terhadap institusi, penganjur dan ekonomi anggota dalam mengemudi kerja serta keutamaan rantau ini kekal kukuh seperti sebelumnya.
Sta Maria telah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC sejak 2019, memajukan pelaksanaan keutamaan ekonomi anggota APEC semasa era Chile, Malaysia dan New Zealand menjadi penganjur.
"Ini merangkumi pentadbiran projek APEC yang dilaksanakan oleh pegawai ekonomi anggota di bawah peringkat kerja APEC dan meletakkan arahan dasar pemimpin serta menteri rantau ini bagi sesuatu tindakan.
“Pentadbiran beliau memberi penekanan kepada peningkatan jaluran keanggotaan APEC yang pelbagai untuk meliberalisasikan dan memudahkan perdagangan termasuk pelaburan selain daripada merealisasikan integrasi ekonomi serantau yang lebih besar," jelasnya.
Sementara itu, Sta Maria berkata, kerjasama antara ekonomi anggota memainkan peranan penting dalam mengatasi krisis seperti Covid-19.
"Pandemik ini membuktikan bertapa pentingnya untuk rantau ini dan peringkat antarabangsa bekerjasama dengan lebih banyak. Ia telah mengajar kita bahawa tiada seorang pun daripada kita boleh bergerak secara bersendirian.
"Tugas sekretariat dalam memperkukuhkan pasukan diplomat, pakar dan profesional adalah penting ketika kita terus memajukan kerjasama pelbagai hala untuk masa depan yang lebih inklusif dan mampan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!