Rumah Bonda gagal cabar tindakan JKM sita premis

Siti Bainun - Foto Sinar Harian
Siti Bainun - Foto Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menolak permohonan Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Rumah Bonda untuk kebenaran semakan kehakiman terhadap Tindakan Lak atau sita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan ke atas premis itu susulan dakwaan penderaan seorang remaja Sindrom Down.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan yang dikemukakan Rumah Bonda itu.

Peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili Rumah Bonda ketika dihubungi pemberita berkata pihaknya memohon agar tiada kos diperintahkan kerana permohonan itu difailkan tanpa sebarang matlamat keuntungan sebaliknya demi kepentingan awam.

“Mahkamah membenarkan permohonan kami yang mana tiada perintah untuk kos. Pihak kami akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini,” katanya selepas keputusan prosiding itu yang dijalankan secara dalam talian dan turut disertai Peguam Kanan Persekutuan Nur Idayu Amir.

Pada 13 Ogos lepas, Rumah Bonda menerusi pengerusinya Siti Bainun Ahd Razali memfailkan permohonan itu dan menamakan Pengarah JKM Wilayah Persekutuan serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai responden.

Antara lain, Siti Bainun mendakwa Notis Tindakan Lak yang dikeluarkan JKM pada 9 Julai terhadap pemohon dan pelaksanaan tindakan itu pada 12 Julai adalah dipengaruhi desakan masyarakat susulan laporan media mengenai dakwaan berlaku penderaan terhadap remaja berumur 13 tahun itu yang tular pada 5 Julai lepas.

Siti Bainun mendakwa kedua-dua responden bertindak sedemikian sebagai suatu reaksi terburu-buru selepas desakan masyarakat yang menuntut JKM dan kerajaan mengambil tindakan tegas dalam kes itu sedangkan remaja tersebut tiada kaitan dan bukan penghuni Rumah Bonda.

Beliau memohon deklarasi bahawa sepanjang masa itu, Rumah Bonda sedang dalam proses permohonan pendaftaran dengan JKM, justeru ia bukan sebuah rumah perlindungan atau pusat jagaan haram. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!