Peniaga terjejas premis judi disaran teroka perniagaan baharu
ALOR SETAR - Peniaga yang terjejas selepas Kedah tidak lagi memperbaharui lesen perjudian di negeri ini diminta mencari alternatif baharu dengan meneroka perniagaan lain yang lebih bersesuaian.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan kerajaan negeri untuk tidak meluluskan permohonan baharu lesen judi hanya melibatkan segelintir peniaga selain tidak menjejaskan ramai pekerja.
Menurutnya, peniaga terlibat disaran beralih kepada sektor perniagaan lain yang boleh memanfaatkan banyak pihak.
“Tak ramai pun yang terlibat dalam sektor perjudian ini, berbanding kerosakan yang berlaku sekiranya premis berkenaan dibuka. Saya difahamkan, peniaga atau pekerja tak banyak terjejas, tak ramai yang akan menganggur,” katanya pada sidang akhbar pada Isnin selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ditangguhkan ke Selasa.
Muhammad Sanusi turut menepis dakwaan bahawa tindakan kerajaan negeri itu akan mengakibatkan banyak premis perniagaan terpaksa dikosongkan.
“Tauke atau pemilik premis judi itu boleh cari bisnes lain. Mereka boleh lakukan aktiviti perniagaan lain. Saya harap mereka dapat cari alternatif lain sebagai perniagaan baharu selepas tamat tempoh lesen.
“Ada peniaga yang terjejas akibat Covid-19 meneroka bidang niaga baharu di premis masing-masing. Ada kedai perabut ditukar menjadi kedai makan, ada kedai gunting rambut ditukar sebagai salon kecantikan,” katanya.
Menurutnya lagi, dakwaan ramai orang akan kehilangan pekerjaan juga tidak berasas disebabkan keputusan terbabit.
“Macam-macam kerja boleh buat, perlu kreatif untuk teruskan kehidupan,” katanya.
Pada sesi perbahasan Sidang DUN Kedah sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Tan Kok Yew dan ADUN Bakar Arang, Ooi Tze Min membantah keputusan kerajaan negeri untuk menghentikan pengeluaran lesen perjudian di seluruh negeri ini.
Pada Ahad, Muhammad Sanusi mengumumkan lesen perjudian yang telah tamat tempoh tidak akan diperbaharui dan ia berkuatkuasa di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.
Mengulas lanjut, katanya, kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada semua ADUN kerajaan dan pembangkang yang menyokong usaha terbabit untuk menjadikan ‘Kedah bebas judi’.
“Saya ucap terima kasih kepada semua ADUN yang sokong usaha murni ini, kecuali yang bantah Derga dan Bakar Arang. Kebanyakan sokong usaha baik yang akan kita laksanakan pada tahun depan, perli-perli sikit tu normal lah.
“Persidangan pun lancar dan tenang malah kedua-dua pihak saling menyokong bagi meneruskan cadangan yang baik, saya rasa politik yang macam ini yang akan beri faedah kepada rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!