KDA FC bersemangat waja sekeras besi
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan Kedah Darul Aman (KDA) FC bersemangat waja dan memiliki semangat juang tinggi selepas berjaya mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman pada Ahad.
Muhammad Sanusi berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu biarpun mereka sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan.
“Tahniah kepada KDA FC setelah seri 0-0 pada perlawanan itu. Saya hadir dan saksikan perlawanan sengit itu, saya jangkakan kita akan ‘balun’ JDT namun ternyata mereka bukan calang-calang lawan,” katanya dalam sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Isnin.
Pada perlawanan itu, KDA FC hanya menampilkan dua pemain import selain menagih kudrat lima pemain muda bagi mengekang cabaran skuad Harimau Selatan.
Bagaimanapun, skuad Hijau Kuning itu masih mampu mengimbangi rentak permainan JDT dalam aksi itu yang diibaratkan sebagai ulangan final Piala Malaysia 2019.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, walaupun KDA FC tidak dibanjiri dengan kemewahan namun semangat yang ditunjukkan setiap pemain begitu membanggakan.
“Mereka sendiri akui kehebatan kita. Walaupun KDA FC dari negeri yang miskin bertanding dengan pasukan yang kaya raya tetapi pasukan kaya raya itu tidak dapat menang menewaskan kita. Ini bermakna walaupun kita miskin tetap ada semangat juang dan waja yang tinggi sekeras besi,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!