Kena cekup curi duit tabung surau
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dicekup ketika sedang 'ralit' mengait duit dari tabung Surau Ikhwan, Teluk Ketapang, Kuala Nerus, petang semalam.
Suspek, 30-an, dicekup oleh sekumpulan penduduk kampung yang secara kebetulan sedang membuat kerja di luar kawasan surau terbabit, kira-kira jam 4 petang.
Menurut sumber, sebelum itu, salah seorang daripada penduduk kampung terbabit ada terdengar bunyi pelik di dalam surau sebelum bertindak mengintai ke dalam ruang solat lelaki.
"Pada masa itu, dia yang juga seorang guru, 52, ternampak kelibat seorang lelaki tidak dikenali sedang mengait duit tabung surau dengan menggunakan mata gergaji besi.
"Tanpa berlengah, guru itu terus menerkam dan memegang badan suspek dengan dibantu beberapa lagi penduduk yang ada di lokasi," katanya.
Sumber berkata, semasa ditahan, ditangan suspek didapati terdapat duit kertas RM10 sebanyak 3 keping, manakala duit RM1 sebanyak 7 keping.
"Ketika itu, turut ada bersamanya sebilah mata gergaji besi dipercayai digunakan untuk mengait duit di dalam tabung yang ada.
"Tanpa membuang masa, penduduk terus menghubungi pihak polis berdekatan memaklumkan tangkapan suspek sebelum membuat laporan kejadian dibuat di Balai Polis Gong Badak Kuala Nerus, selepas kejadian," katanya.
Sementara itu, hari ini, suspek direman selama empat hari ini mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!