TMJ kirim sejambak bunga buat Sanusi

 Tunku Ismail mengirim sejambak bunga ros merah kepada Sanusi.
Tunku Ismail mengirim sejambak bunga ros merah kepada Sanusi.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Perang mulut di antara Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di ruangan media sosial sejak beberapa hari lepas tidak terhenti pada pusingan perlawanan suku akhir Piala Malaysia semalam.

Pada Isnin, Tunku Ismail mengirim sejambak bunga ros merah dan beberapa bungkusan makanan segera daripada McDonalds kepada Sanusi.

Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dalam satu posting di Facebook berkongsikan gambar bunga ros dengan nota bertulis “dengan ingatan tulus ikhlas dari TMJ”.

“Menjunjung Kasih TMJ atas kiriman bunga dan McDonalds, hari Khamis ini kita berentap lagi, kalah, seri atau menang adalah adat perlawanan. Kasi panas ‘line’ itu wajib laaa,” tulis Sanusi.

Sementara itu, TMJ dalam perkongsian di IG Stories turut memuat naik kepingan foto yang memaparkan Sanusi bersama jambakan bunga yang diterimanya dengan tampalan stiker bertulis “aww sweet,” pada Isnin.

Sebelum ini, platform media sosial hangat dengan sindiran pedas di antara Tunku Ismail dan Sanusi selepas isu pembayaran gaji pemain Kedah Darul Aman FC dibangkitkan oleh Tunku Ismail.

Tulis Tunku Ismail, “bila nak lawan JDT sahaja ke baru nak bayar gaji? Sampai bila nak perangai macam ni? Kepala pistol”.

Bagaimanapun, Sanusi tampil menyangkal dakwaan tersebut dengan menegaskan bahawa pihaknya telah selesai membuat bayaran tunggakan gaji pemain negeri itu.

“La ni bulan sebelaih dah... bulan satu sampai bulan sepuluh kena lawan JDT tiap-tiap bulan kaaa??? Apa punya peluru kapoq tala ikut suka dia,” kata Sanusi.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu lagi posting, beliau menambah kenyataan berupa sindiran yang menunjukkan bahawa beliau telah sekian lama bermain bola sepak berbanding TMJ.

“Hang tak pakai seluaq lagi aku main bola dah.. La ni pun dok main bola lagi.. diet apa diet?” tambah Sanusi lagi pada Ahad.

Susulan insiden perang mulut tersebut, perlawanan di antara KDA FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi tumpuan orang ramai yang mana pertembungan kedua-dua pasukan itu hanya berakhir dengan 0-0 pada malam tadi. -Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!