'Kepincangan politik berlaku sebab wujudnya parti'
MELAKA - Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Datuk Dr Norazlanshah Hazali menyifatkan kepincangan politik yang berlaku dalam negara adalah berpunca daripada kewujudan parti politik itu sendiri.
Beliau berkata, kebiasaannya calon yang berkaliber sukar untuk naik berbanding mereka yang menggunakan kaedah mengampu pihak atasan dalam menonjolkan diri.
“Contohnya, terdapat dua calon dalam satu parti yang sama dan bertanding dalam kawasan DUN yang sama.
“Seorang calon memang benar-benar berkaliber, satu lagi pandai mengampu. Akhir zaman ini, biasanya yang mengampu akan ke hadapan, manakala mereka yang berkaliber tidak dapat bertanding.
“Ini sekali gus menjadikan pengundi dan semangat pun berpecah dua hingga menyebabkan perpecahan dalam masyarakat berlaku. Apa salahnya jika dua calon ini pergi ke depan?.
“Biar rakyat buat pilihan nak yang mana. Sebab itu kita nak memperkenalkan pilih dan undi calon Bebas,” katanya kepada media selepas selesai aktiviti riadah berkuda sambil melawat kawasan Kampung Paya Tanjung pada Isnin.
Katanya, perjuangan calon Bebas adalah berpaksikan suara rakyat sendiri yang memanggil dan mahu mereka diangkat sebagai wakil rakyat.
Tambah Norazlanshah, rakyat sebenarnya sudah muak dengan ahli politik yang suka melompat parti.
“Di DUN ini ramai ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka kata jika tidak ada calon Bebas masuk, kita tidak mahu keluar mengundi.
“Tapi kalau tidak keluar mengundi, esoknya ahli politik lompat parti yang sama akan dipilih. Kalau melompat lagi nanti, sampai bila PRN nak habis?” soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!