Kerajaan ada tiga pilihan
SHAH ALAM – Tiga tindakan dicadangkan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman.
Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, PTPTN perlu menghantar notis kepada peminjam dan penjamin supaya membayar hutang.
“Kebiasaannya, PTPTN akan memberi surat notis kepada peminjam untuk menuntut bayaran (hutang). Jika peminjam tidak dapat membayar, ada proses lain seperti peminjam boleh membuat penangguhan dan mereka akan berhubung.
“(Tetapi) jika pelajar tidak mahu membayar (walaupun mampu membayar), PTPTN akan meminta penjamin yang menjelaskan pembayaran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.Mengulas lanjut, Khairil Azmin menambah, tindakan kedua ialah mengenakan saman kepada mereka tetapi bergantung kepada kemampuan.
“Berapa jumlah dikenakan bayaran saman itu bergantung kepada kemampuan individu tersebut. Mahkamah akan menentukan jumlah yang perlu dibayar,” katanya.
Selain itu, ujarnya, PTPTN boleh menyenarai hitam peminjam daripada keluar negara.
“Bagi peminjam yang mampu bayar tetapi tidak mahu membayar itulah satu cara yang boleh digunakan untuk memastikan mereka membuat pembayaran,” katanya.
Namun menurutnya, tindakan seperti itu bergantung kepada ketegasan kerajaan.
“Dalam keadaan (ekonomi) seperti ini, jika tidak ada masalah untuk membayar, kita elakkan sebab akan menyukarkan kehidupan dan pekerjaan bagi bekas pelajar itu,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!