PRN Melaka: PN optimis dapat terima mandat rakyat

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) optimis gabungan itu mampu memenangi mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Pengarah pilihan rayanya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perkara itu diukur melalui rekod pencapaian kerajaan di bawah gabungan parti itu.

"Saya optimis bahawa berdasarkan pencapaian dan kejayaan yang telah dicapai oleh PN di peringkat persekutuan, rakyat Melaka akan dapat membuat keputusan yang terbaik bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil yang dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat negeri itu khususnya dalam keadaan pandemik Covid-19 ini yang masih berada pada tahap membimbangkan.

"Walaupun dari segi jumlah kes sudah menurun, tetapi Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bahawa kes kemasukan ke hospital masih tinggi dan ini memerlukan sokongan semua pihak untuk menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya kita dapat membendung penularan Covid-19 dan beralih ke fasa endemik," katanya ketika ditemui di Tedong, Serkam pada Isnin.

Dalam pada itu ujar beliau, masih terlalu awal untuk membuat tekaan mengenai jumlah kerusi yang boleh dimenangi gabungan parti tersebut.

Bagaimanapun katanya, parti itu mendapat maklum balas yang positif dan baik diperingkat akar umbi dan pengundi di setiap 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tambah beliau, tumpuan parti itu dalam pecutan akhirnya kini adalah untuk meyakinkan pengundi dengan kebolehan serta kredibiliti semua calon yang diketengahkan.

Malah beliau berharap rakyat Melaka dapat membuat keputusan terbaik untuk memilih parti yang boleh menstabilkan kerajaan negeri serta menangani pandemik Covid-19. - Awani

Artikel Berkaitan:

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!