Dewan Rakyat: Undang-undang pemberi maklumat antara tumpuan hari ini
KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini dijangka mengupas isu berkenaan cadangan mengkaji semula undang-undang berkaitan pemberi maklumat di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, persoalan itu akan dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri selain ingin tahu mengenai keberkesanan melindungi pemberi maklumat dalam kes salah laku dan rasuah berprofil tinggi.
Pada sesi itu juga, Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) meminta penjelasan Menteri Pertanian dan Industri Makanan mengenai isu kenaikan kos input pertanian khasnya baja yang mencecah sehingga 70 peratus dan tindakan kementerian bagi menangani isu tersebut.
Sementara itu, Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) pada sesi soal jawab akan bertanyakan kepada Menteri Kanan Pertahanan tentang sejauh mana inisiatif berkaitan pertahanan dan keselamatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 menjamin keselamatan rakyat dan kedaulatan negara.
Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) pula akan membangkitkan mengenai proses penggubalan satu Akta Halal bagi tujuan penyelarasan dan pemantapan peruntukan undang-undang mengenai proses, prosedur serta kawalan pensijilan halal untuk seluruh negara.
Selain Rang Undang-Undang Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang dijangka dibentangkan untuk bacaan kali pertama, sidang Dewan Rakyat hari ini turut tertumpu kepada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat dasar oleh kementerian terlibat.
Dewan Rakyat akan bersidang sehingga 16 Disember ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!