Bakri bawa agenda perpaduan kaum di Klebang
Ketua Penerangan PN Melaka itu juga ingin menangkis mentaliti pentas politik yang hanya menjadi platform perbalahan pemimpin dengan menawarkan politik berteraskan kepimpinan yang berintegriti, bersih dan prihatin.
Ikuti temubual Wartawan Sinar Harian, Nur Iftitah Rozlan bersama calon DUN Klebang ini.
SINAR HARIAN: Apakah agenda utama yang ingin dibawa bagi penduduk di DUN Klebang, secara khususnya?
BAKRI: Saya ingin membawa konsep perpaduan sebagai satu budaya baharu dalam berpolitik. Kebiasaannya apabila menyentuh soal politik, ramai yang beranggapan politik ini membosankan. Mereka melihat pentas politik sebagai platform untuk individu saling menabur fitnah. Saya ingin tawarkan politik perpaduan yang berteraskan kepada kepimpinan yang berintegriti, bersih dan juga prihatin. Ini adalah aspek yang saya dan rakan-rakan seperjuangan daripada Pas cuba bawakan khusus untuk penduduk di DUN Klebang.
Klebang dipecahkan kepada penduduk Melayu mewakili 67 peratus, Cina (30 peratus) dan kaum-kaum lain (3 peratus). Oleh itu, penting untuk saya bawakan perpaduan sebagai agenda utama dalam usaha untuk menyatupadukan penduduk di sini. Kita tahu semakin ramai rakyat Malaysia mula bosan dengan permainan politik yang terlalu bersifat kepartian dengan ragam ahli -ahli politik yang saling menjatuhkan antara satu sama lain. Hanya perpaduan boleh menjadi solusi terbaik dan ini yang ingin saya tawarkan kepada penduduk di sini. Saya akan menggunakan pendekatan ini untuk mengajak rakyat sama-sama bangkit dan membentuk satu pasukan bagi membangunkan DUN Klebang.
Saya melihat salah satu perkara yang boleh diketengahkan adalah isu di Bukit Rambai yang termasuk dalam DUN Klebang. Kawasan ini sering berlaku banjir kilat setiap kali hujan lebat. Ramai penduduk yang terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan harta. Sekiranya saya diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat, ini antara perkara pertama yang akan saya perhalusi untuk bersama-sama dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi menyelesaikan masalah banjir ini.
Dataran 1 Malaysia, Klebang, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah lokasi tumpuan, namun sekarang ia agak sepi. Banyak penambahbaikan yang boleh dilakukan terutamanya tapak perniagaan. Insya-ALLAH isu ini akan diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Kita kena bantu masyarakat peniaga terutama dari segi kelulusan lesen untuk menghidupkan kembali ekonomi di Klebang khususnya di sebelah pantai. Ketika meninjau Kawasan itu, saya lihat banyak jalan yang tidak diturap. Ini menimbulkan keadaan tidak selesa kepada peniaga dan pengunjung jika hujan.
Boleh kongsikan perkembangan kempen dan bagaimana untuk menghadapi cabaran kempen norma baharu?
Walaupun dengan prosedur operasi standard (SOP) kempen yang ketat, alhamdulillah ia berjalan dengan baik. Calon masih lagi boleh bercampur dengan masyarakat ketika minum pagi di kedai. Saya boleh mengunjungi masjid dan berjemaah bersama-sama penduduk untuk beramah mesra dan bertemu secara bersemuka dengan pengundi. Jadi ruang dan peluang untuk turun ke lapangan berjumpa secara terus dengan pengundi masih ada. Saya sudah mula dapat menerima kaedah kempen secara norma baharu dan akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin.
Dulu, tidak semua ceramah orang akan datang dan dengar. Hari ini, apabila menggunakan media sosial penyampaiannya lebih baik. Cuma, golongan 60 tahun ke atas kebanyakannya tidak mempunyai telefon pintar dan masih lagi bergantung kepada telefon bimbit lama. Mungkin mereka adalah golongan yang kurang mendapat pendedahan maklumat kempen. Untuk itu, saya gunakan kaedah mengedar risalah dari rumah ke rumah.
Apakah nilai yang disandarkan untuk memastikan pengundi memilih saudara sebagai wakil rakyat?
Bagi saya apa yang penting ialah kejujuran dalam membantu rakyat. Jangan mengharapkan apa-apa balasan dalam setiap bantuan yang dihulurkan dan lakukan segala sesuatu itu dengan ikhlas. Selain itu, sifat prihatin dan kepedulian terhadap keadaan atau permasalahan rakyat juga menjadi aspek penting yang perlu ada dalam diri setiap pemimpin. Sekiranya diberi mandat, saya akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan bagi memudah urusan rakyat agar mereka selesa.
Nilai budaya politik seperti apa yang ingin dibawa dalam mendapat sokongan daripada rakyat?
Di saat ahli politik saling bercakaran sesama sendiri, saya menjanjikan konsep perpaduan. Saya menawarkan kepimpinan yang berintegriti sebab itu pada 12 November lalu, kesemua calon Perikatan Nasional (PN) sepakat menandatangani dokumen akujanji bahawa kami akan memerangi rasuah dan akur dengan peraturan di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini sekali gus membuktikan komitmen yang kita tawarkan kepada masyarakat adalah tawaran terbaik bukan sahaja daripada saya, tetapi mewakili PN secara keseluruhannya.
Nama: Bakri Jamaludin
Umur: 57 Tahun
Asal: Tangga Batu, Melaka
Pendidikan: Diploma Pertanian, Universiti Pertanian Malaysia
Jawatan:
- Ketua Penerangan Pas Melaka
- Yang di-Pertua Pas Tangga Batu, Melaka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!