Masalah banjir kilat fokus utama Ja’afar
Selaku anak jati DUN itu, Ja’afar dilihat mempunyai kelebihan untuk memahami dan mengetahui kehendak serta keperluan rakyat di kawasan itu.
Tentunya, masalah banjir kilat yang sering membelenggu penduduk setempat menjadi antara fokus utama beliau untuk diatasi jika diberi mandat sebagai wakil rakyat di DUN tersebut.
Ikuti temubual Wartawan Sinar Harian, Nurul Huda Husain bersama calon PN DUN Durian Tunggal ini bagi mengetahui lebih lanjut agenda perjuangan dan harapan beliau untuk rakyat di kawasannya.
SINAR HARIAN: Sejak bila saudara terlibat dalam politik dan mengapa?
JA’AFAR: Penglibatan saya dalam politik sebenarnya berlaku secara tidak sengaja. Keinginan dan perasaan ingin tahu secara mendalam mengenai politik timbul apabila ketika itu berlaku krisis kepimpinan politik dalam negara. Ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim disingkirkan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Rakyat bangkit dan tercipta reformasi politik kerana ingin mempertahankan beliau. Di saat kebanyakan pihak memilih untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi saya memilih haluan yang berbeza iaitu bersama dengan Pas.
Saya tertarik dengan Pas kerana parti itu memperjuangkan Islam. Dari situlah saya mula terlibat dalam politik dan secara spesifiknya, saya mula menyertai politik pada tahun 1998.Apabila menyertai politik saya berazam untuk melakukan pembaharuan dalam politik tanah air kerana kita sedar dalam politik ini ada ‘ruang’ yang masih perlu diperbaiki.
Apakah perasaan saudara apabila dipilih menjadi calon PN yang mewakili Pas?
Perasaan itu sebenarnya sukar digambarkan, teruja tetapi saya berdebar. Teruja diberi peluang untuk menjadi calon mewakili parti, tetapi saya berdebar kerana bimbang jika tidak mampu memberikan khidmat yang terbaik sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat. Namun, apa pun perasaan yang dilalui ketika ini, hasrat dan keinginan saya tidak lain adalah untuk berbakti kepada rakyat di DUN Durian Tunggal iaitu kampung saya sendiri.
Malah, pada awalnya ia bagaikan kejutan buat saya kerana setelah dipilih menjadi calon, jadual harian dan aktiviti mula berubah sepenunya. Namun, saya seronok kerana berpeluang mendekati rakyat di kawasan kelahiran sendiri. Sebagai DUN yang terdiri daripada masyarakat majmuk, menjadi hasrat saya untuk memastikan keinginan dan keperluan rakyat pelbagai kaum diberi perhatian sewajarnya.
Bagaimanakah reaksi rakyat terhadap kempen dalam norma baharu dan bagaimana sambutan mereka terhadap saudara?
Saya melihat kempen dalam suasana norma baharu ini bukan satu masalah untuk berdepan dengan golongan muda kerana rata-rata mereka ini adalah pengguna media sosial. Namun, ia menjadi kekangan untuk kami mendekati pengundi tua atau warga emas. Biasanya, calon akan berkempen dari rumah ke rumah untuk dekati penduduk warga emas, tetapi kerana prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan telah membataskan gerak kempen. Insya-ALLAH, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk berkempen dan memberi penerangan kepada rakyat di DUN Durian Tunggal ini.
Mengenai respons rakyat daripada kempen yang telah berjalan ini, Alhamdulillah reaksi mereka agak positif terhadap saya. Malah, rata-rata rakyat yang ditemui juga memuji bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang banyak berbakti kepada rakyat semasa menjadi pemimpin utama negara sebelum ini. Secara tidak langsung, saya turut mendapat ‘tempias’ kebaikan Tan Sri Muhyiddin. Secara keseluruhan penerimaan rakyat terhadap PN sangat memuaskan.
Menjelang minggu terakhir kempen, apakah strategi yang diambil bagi memastikan mesej itu sampai kepada rakyat dan menyeluruh?
Saya akan tingkatkan kempen dan penggunaan media sosial untuk mendekati seramai mungkin pengundi muda. Jentera kami juga akan edar risalah dari rumah ke rumah untuk memastikan semua penduduk di DUN Durian Tunggal menerima maklumat.
Saya akan membangkitkan isu-isu yang menjadi tumpuan rakyat di sini dan setiap masalah yang dibangkitkan akan sampai ke peringkat tertinggi untuk diselesaikan.
Apakah pembaharuan yang ingin dilaksanakan di DUN Durian Tunggal sekiranya dipilih?
Banyak pembaharuan yang boleh dilakukan oleh calon yang bakal dipilih. Bagi saya, fokus utama adalah membabitkan prasarana dan infrastruktur di kawasan ini yang sering berdepan masalah banjir. Masalah inilah yang akan saya perjuangkan sehabis baik jika diberi mandat sebagai wakil rakyat di sini. Selain itu, masalah kesesakan jalan raya atau laluan sempit turut diberi perhatian nanti. Saya akan pastikan laluan alternatif diwujudkan segera untuk menangani masalah ini.
Pembaharuan lain yang akan saya lakukan jika diberi mandat adalah dengan mengamalkan konsep politik terbuka. Saya akan melibatkan semua pihak daripada fahaman atau parti politik berbeza dalam pentadbiran saya di DUN Durian Tunggal agar dapat mewujudkan suasana yang lebih harmoni.
Nama: Ja’afar Othman
Umur:45 Tahun
Pendidikan: Ijazah Sains Gunaan (Kimia Analisis), Universiti Sains Malaysia
Pengalaman:
- Perunding Kimia Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (OSH)
Jawatan Politik:
- Setiausaha Jentera Pilihan Raya Pas DUN (2015 - sekarang)
- Ketua Penerangan Pas Negeri Melaka (2017-2019)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!