India mula terima kemasukan pelancong luar
NEW DELHI - India membenarkan pelancong luar yang lengkap divaksinasi memasuki negara itu bermula Isnin dengan menggunakan penerbangan komersial.
Ia merupakan langkah kelonggaran sekatan terbaharu Covid-19 yang dilaksanakan India ketika kadar jangkitan di negara itu menunjukkan penurunan serta peningkatan kadar vaksinasi.
Bagaimanapun, menurut Kementerian Kesihatan negara itu, pengembara ke India tertakluk kepada syarat perlu jalani ujian saringan pra-ketibaan di negara masing-masing, 72 jam sebelum penerbangan.
Pengembara dari negara yang mempunyai pengiktirafan sijil vaksinasi dengan India seperti Amerika Syarikat, United Kingdom serta negara Eropah lain dibenar meninggalkan lapangan terbang tanpa perlu menjalani ujian saringan Covid-19.
Selain itu, pelancong dari negara berisiko rendah dikehendaki membuat pemantauan kesihatan kendiri selama 14 hari selain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Sehingga kini, terdapat 96 negara mempunyai perjanjian dengan India untuk pengiktirafan bersama sijil vaksinasi.
Dengan lebih 35 juta kes jangkitan direkodkan, India merupakan negara kedua paling tinggi mencatatkan kes Covid-19 selepas Amerika Syarikat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!