Kegagalan Itali memalukan!
PENGENDALI Itali, Roberto Mancini mengakui kegagalan skuad kendaliannya layak secara automatik ke Piala Dunia 2022 apabila terikat tanpa jaringan dengan Ireland Utara pada Selasa, sebagai sesuatu yang memalukan.
Menurut Mancini, biarpun menguasai sebahagian besar perlawanan, namun kesebelasan Azzurri dilihat ‘bergelut’ untuk menembusi benteng pertahanan lawan di sepanjang perlawanan.
“Kekalahan ini nyata memalukan. Juara Eropah gagal layak secara automatik ke Piala Dunia. Kami menguasai perlawanan ini tetapi bergelut untuk menjaringkan gol.
“Kami seharusnya menjaringkan gol lebih awal kerana kami menguasai perlawanan, malangnya kami gagal melakukannya (menjaringkan gol).
“Malah, kami seharusnya menjaringkan gol lebih awal dan malah kami juga tidak seharusnya tidak mempersia-siakan peluang pada perlawanan-perlawanan terdahulu,” katanya.
Keputusan berkenaan menyaksikan Itali menamatkan saingan peringkat Kumpulan C pada kedudukan kedua dengan 16 mata hasil lapan perlawanan dan bakal beraksi di pusingan play-off pada Mac bagi menentukan kelayakan ke Piala Dunia 2022, kelak.
Sementara itu, Mancini menaruh keyakinan skuad Azzurri itu bakal beraksi di Piala Dunia 2022 biarpun terpaksa mengharungi pusingan play-off pada Mac.
Malah katanya, kesebelasan pemain dilihat bersedia untuk berdepan dengan mana-mana pasukan pada aksi play-off kelak bagi memastikan slot beraksi di Piala Dunia 2022 menjadi milik Azzurri.
“Kekalahan ini sesuatu yang memalukan kerana kami seharusnya mengesahkan kelayakan lebih awal dan apabila kami seharusnya menewaskan Bulgaria selain mendapat dua sepakan penalti ketika berdepan Switzerland.
“Apa pun, saya tetap yakin pasukan ini akan beraksi cemerlang pada pusingan play-off nanti dan seterusnya bakal beraksi di Piala Dunia 2022,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!