DBKL terus gempur penyewa PPR langgar syarat sewa
KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan akan terus menjalankan penguatkuasaan secara bersasar dan berkala bagi mengesan penyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang sudah tidak layak menyewa di perumahan tersebut.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tindakan tegas perlu dilakukan bagi memastikan unit tersebut dikosongkan segera bagi membolehkan penyewa baharu masuk.
Menurutnya, setakat September 2021, sebanyak 1,654 permohonan telah diluluskan dengan 686 pemohon telah ditawarkan unit rumah manakala 968 yang lain masih menunggu tawaran unit kosong.
Jelasnya, faktor utama tiada unit kosong ialah pertamanya, unit sedang dibaik pulih.Kedua, kewujudan penyewa melepasi kadar kelayakan tapi masih enggan keluar dan ketiga, tiada sebarang projek PPR baharu untuk penyewa.
“Kita akan buat penguatkuasaan secara berkala, tidak ada kompromi. Bila kita dapati ada sublet, kita akan terus rampas unit.
Kalau kita dapati tidak tinggal di sana, kita akan rampas.
“Kalau kita dapati ketua penyewanya terlibat dadah, maksiat, terlibat dengan aktiviti yang melanggar undang-undang dan peraturan negara, kita akan rampas.
Ini adalah tindakan berterusan pihak penguatkuasaan.
“Dalam data kita, ada 350 unit (melanggar syarat menyewa) yang pada setiap tahun boleh kita buat pengosongan untuk kita tawarkan kepada pemohon yang dalam senarai menunggu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Lip Eng (PH - Kepong) dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Tambah beliau, setakat September 2021, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mempertimbangkan 10,138 permohonan dan jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding 2019.
“Pada 2019, kita ada 1,543 permohonan rumah PPR yang nak menyewa.
Pada tahun 2020, ada 6,922 pemohon.
“Ini mungkin kerana ada yang kehilangan pendapatan, kehilangan tempat tinggal, kehilangan kemudahan untuk teruskan penyewaan di rumah-rumah sedia ada,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!