72 peratus pekerja muda pertimbang bekerja di luar negara
KUALA LUMPUR - Satu penyelidikan oleh Employment Hero iaitu penyelesaian pekerja, senarai gaji dan faedah yang lengkap untuk perniagaan bersaiz kecil hingga sederhana, mendedahkan 72 peratus pekerja muda Malaysia mempertimbangkan untuk bekerja di luar negara untuk mendapatkan prospek kerjaya yang lebih baik.
Dalam Laporan Pergerakan dan Pengekalan Pekerja 2021, ia berkata angka itu yang diperoleh daripada 1,004 pekerja yang dikaji, adalah lebih tinggi berbanding negara lain yang ditinjau seperti Singapura (55 peratus) dengan antara sebab utamanya ialah gaji dan prospek kerjaya yang lebih baik
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Employment Hero Ben Thompson berkata, pandemik ini telah memberi pelbagai sebab kepada bakat untuk mengubah hala tuju dalam kerjaya mereka atau meneroka ke luar negara seiring dengan dunia yang semakin terbuka.
"Petunjuk terbesar bahawa sesuatu perlu diubah ialah apabila 24 peratus warga Malaysia menyatakan bahawa mereka "gemar" pekerjaan mereka dan 45 peratus pula "menyukainya", tetapi kebanyakan daripada mereka telah merancang untuk meninggalkan pekerjaan masing-masing.
"Ini adalah masalah bagi majikan tempatan dan seharusnya mendorong ramai majikan untuk menilai semula dasar, budaya kerja serta strategi pengekalan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Laporan itu menambah 61 peratus pekerja merancang untuk mencari peranan baharu dalam tempoh 12 bulan akan datang – kadar tertinggi berbanding semua negara yang ditinjau (Singapura 59 peratus, Australia 48 peratus, New Zealand 50 peratus dan United Kingdom 55 peratus).
"Antara sebab utama mereka ingin meninggalkan organsisasi adalah kekurangan pembangunan kerjaya (36 peratus), diikuti dengan kekurangan penghargaan atau pengiktirafan (27 peratus) dan kekurangan peluang latihan (26 peratus).
"Sebab-sebab lain pula ketiadaan kenaikan gaji, masalah pengurusan, berasa mereka bekerja terlalu kuat dan kekurangan fleksibiliti," jelasnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!