Kempen anti minyak sawit oleh EU wujudkan persepsi negatif

Zuraida. - Foto Bernama
Zuraida. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekatan dan kempen anti minyak kelapa sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit Malaysia sejak dua tahun lalu telah memberi kesan serta mewujudkan persepsi negatif terutamanya dalam kalangan pengguna.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan akan terus memantau sebarang perkembangan terkini bagi perundangan atau peraturan lain yang sedang digubal oleh pihak EU yang dilihat akan memberi kesan kepada industri sawit negara.

“Kerajaan sentiasa komited dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam mempertahankan industri sawit negara yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi negara terutamanya kepada pekebun kecil,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang meminta kementeriannya menyatakan apakah status semasa sekatan dan kempen anti minyak kelapa sawit oleh EU terhadap minyak sawit Malaysia dan jumlah terkini eksport minyak kelapa sawit negara serta kemampuan negara dalam menampung keperluan di pasaran.

Mengulas mengenai jumlah terkini eksport minyak kelapa sawit negara, Zuraida berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah eksport minyak sawit bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021 telah menurun sebanyak 1.04 juta tan atau 10.2 peratus kepada 9.15 juta tan berbanding 10.19 juta tan pada tempoh yang sama pada tahun 2020.

Bagaimanapun katanya, nilai eksport minyak sawit bagi tempoh yang sama telah meningkat sebanyak RM9.9 bilion (36.4 peratus) kepada RM37.37 bilion berbanding RM27.41 bilion.

Tambahnya, daripada jumlah tersebut, India merupakan pengimport terbesar dengan 1.90 juta tan (bernilai RM8.03 bilion), diikuti oleh China sebanyak 1.06 juta tan (RM3.77 bilion) dan Kesatuan Eropah sebanyak 0.95 juta tan (RM3.97 bilion).

“Malaysia mengeluarkan 13.31 juta tan minyak sawit mentah pada tempoh Januari hingga September 2021 dengan jumlah stok berada di paras 1.75 juta tan pada September 2021.

Artikel Berkaitan:

“Permintaan dunia kepada minyak sayuran termasuklah minyak sawit dijangka akan terus meningkat seiring dengan peningkatan populasi dunia. Sebagai industri berorientasikan eksport, pengeluaran Malaysia dilihat mampu menampung permintaan minyak sawit khususnya bagi negara-negara pengimportnya,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!