PN punya cara tersendiri dekati pengundi: Azmin

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

MELAKA - Perikatan Nasional (PN) mempunyai pendekatan tersendiri dalam mendekati pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan tidak perlu terikut-ikut dengan kaedah parti-parti lain, kata Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata PN tidak mahu terbawa-bawa dengan pendekatan parti lain yang lebih cenderung mengumumkan calon ketua menteri masing-masing apabila berjaya membentuk kerajaan.

"Kita kena mencari pendekatan-pendekatan baharu untuk mendekati mereka (pengundi), menerangkan manifesto, dan kita juga memaklumkan tentang kejayaan PN dalam tempoh dua tahun ini untuk menjaga kesihatan dan memulihkan ekonomi, ini keutamaan kita," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Mohamed Azmin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata rakyat ketika ini ingin tahu mengenai dasar dan inisiatif yang akan dilakukan PN jika diberi mandat oleh rakyat untuk mengetuai kerajaan negeri selepas ini.

Hari ini berlangsungnya proses pengundian awal PRN Melaka bermula 8 pagi tadi, yang menyaksikan 11,557 anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Proses pengundian berlangsung di 31 Pusat Pengundian Awal (PPA) di seluruh negeri sehingga 5.30 petang ini.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

SPR menetapkan hari pengundian pada 20 November ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!