Streram kecewa difitnah belum bayar pinjaman
SEREMBAN - " Saya kecewa dan tidak sangka rakan baik sendiri sanggup membuat fitnah kepada saya," kata Penyelaras DUN Rantau, Dr S Streram pada sidang media di Dewan Taman Angsamas di sini tadi.
Kata Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau itu, beliau telah melunaskan pinjaman yang dibuat sebanyak RM60,000 kepada bekas Pembantu Khas Ahli Parlimen Segamat, Dr Edmund pada Oktober tahun lalu.
"Walaupun dia kawan baik saya tetapi pinjaman sebanyak RM60,000 itu saya sudah bayar kepada bekas pembantu khasnya, pada Oktober lalu, segala bukti pembayaran juga saya ada.
"Saya tidak sangka perkara ini dijadikan isu dan saya yakin ia dilakukan atas dasar politik, ada kemungkinan sengaja mahu menjatuhkan imej saya pada PRK ini," katanya.
Tambahnya, beliau mempunyai bukti yang kukuh jika dibawa ke muka pengadilan, malah akan berbincang dengan pimpinan pusat untuk mengambil tindakan lebih lanjut.
Katanya, segala dokumen bayaran telah diserahkan kepada pimpinan pusat pada awal Februari lalu, kerana sebelum ini perkara itu pernah dibangkitkan secara dalaman, dan juga telah diselesaikan.
Namun, beliau sendiri seakan tidak menyangka isu tersebut dibangkitkan kembali, seolah-olah ada rancangan lain yang mahu memburukkan imejnya.
Menurut Streram, dakwaan beliau tidak membayar pinjaman tersebut adalah fitnah yang sengaja disebarkan oleh segelintir orang dalam PKR sendiri yang dipercayai ada agenda tersendiri.
Terdahulu, tular di media sosial berkenaan MP Segamat Dr Edmund Santhara membuat laporan polis terhadap Streram atas dakwaan beliau tidak membayar balik pinjaman dibuat bagi tujuan pembelajaran anaknya berjumlah RM62,000.
Mengulas kenyataan Streram yang telah melangsaikan hutang tersebut, Ahli Parlimen PKR itu menuntut supaya bekas calon PH di DUN Rantau itu mengemukakan bukti pembayaran balik pinjaman kepada pihak polis.
"Kalau Streram kata dah selesai maka dia perlu kemukakan bukti pembayaran kepada pihak polis," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!