Ah long Singapura sasar pekerja Malaysia
PASIR GUDANG - Satu kumpulan ah long di Singapura menawarkan pinjaman dengan menyasarkan pekerja Malaysia di republik itu sebelum memancing mereka dengan pelbagai janji manis termasuk menawarkan kadar faedah serendah satu peratus.
Tawaran itu dibuat menerusi media sosial dan apabila mangsa menunjukkan minat, mereka diminta memberikan nombor akaun dan kad pengenalan, namun belum sempat mangsa memberikan persetujuan, ah long berkenaan sudah pun memasukkan wang pendahuluan.
Terbaharu, Ong Kim Hong, 45, yang ketika ini tinggal di Singapura bersama dua anak lelakinya menjadi mangsa ah long dari republik tersebut selepas anak lelakinya berurusan untuk meminjam wang berjumlah Singapura Dollar SD$450.
Dia yang bekerja sebagai kerani di republik itu mendakwa, anaknya belum menyatakan persetujuan untuk meminjam dan baru peringkat perbincangan tetapi wang sudah dimasukkan lalu diminta membayar SD$700.
"Selepas itu, ah long tersebut mengugut dan meminta saya membayarnya sebelum mereka membaling cat merah di rumah kami di Nusa Bestari, Johor Bahru sebanyak tiga kali iaitu pada Oktober disusuli pada 8 dan 13 November lalu.
"Rumah tersebut kami sewakan dan selepas ah long membaling cat merah, penyewa kami tidak berani lagi duduk dan mengosongkan rumah tersebut. Ah long juga mengugut untuk membakar rumah," katanya.
Dia berkata demikian dalam sidang video secara langsung di Pejabat MCA Pasir Gudang, Johor Jaya di sini pada Selasa yang turut dihadiri Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Pasir Gudang, Lim Thow Siang.
Kim Hong berkata, susulan itu dia membuat laporan polis di republik tersebut dan pada masa sama rakannya di Johor Bahru turut membuat laporan polis kerana bimbang serta mahu polis menyiasat perkara berkenaan.
Sementara itu, adik Kim Hong iaitu Ong Ah Kit, 44, yang tinggal di Johor Bahru berkata, kakaknya kini hidup dalam ketakutan selain terpaksa menanggung malu selepas rumahnya di Nusa Bestari disimbah cat.
Ah Kit berkata, anak kakaknya itu mahu meminjam wang untuk masuk tentera di republik tersebut tetapi masih belum memberikan persetujuan untuk meminjam wang daripada ah long berkenaan.
Dalam pada itu, Thow Siang meminta polis di Johor bekerjasama dengan polis di Singapura dalam menyelesaikan kes berkaitan pinjaman dan ugutan membabitkan ah long Singapura terhadap rakyat Malaysia di republik itu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kes itu yang disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah melalui telefon.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!