Malaysia sedia jadi hab rawatan hepatitis C: Khairy
KUALA LUMPUR - Malaysia bersedia menjadi hab rawatan hepatitis C dengan menawarkan rawatan kombinasi ubat Ravidasvir dan Sofosbuvir pada harga berpatutan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau berkata, produk baharu bagi pelancongan kesihatan itu ditawarkan susulan Malaysia menjadi negara pertama diberi kelulusan bersyarat untuk menawarkan rawatan daripada gabungan dua ubat tersebut.
"Kita akan memasarkan rawatan ini kepada pengembara dari luar negara dan oleh kerana ia merupakan rawatan jangka masa sederhana sekitar tiga bulan, kita jangkakan terdapat kesan berganda terhadap ekonomi,” katanya pada sidang akhbar sempena persidangan insigHT 2021 di sini pada Selasa.
Persidangan perisikan pasaran pelancongan perubatan terkemuka rantau ini yang dianjurkan Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) diadakan selama tiga hari bermula Selasa.
Beliau berkata, tawaran itu juga sejajar dengan misi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk mengurangkan penularan jangkitan virus hepatitis itu sebanyak 90 peratus dan mengurangkan kematian disebabkan virus itu sebanyak 65 peratus menjelang 2030.
Katanya, kementerian juga akan mengenal pasti hospital yang akan dijadikan hospital premium bagi menjalankan inisiatif itu.
Khairy berkata, sektor pelancongan kesihatan berpotensi besar untuk melonjakkan ekonomi yang mana ia telah menjana pendapatan sekitar RM1.7 bilion setiap tahun sebelum pandemik Covid-19.
"Untuk tahun ini, kita hanya sasarkan RM520 juta pendapatan disebabkan sekatan pengembaraan, tahun depan kita sasarkan RM800 juta dan berdasarkan perancangan MHTC menjelang 2025 kita sasarkan akan sampai ke tahap prepandemik semula," katanya.
Khairy sebelum itu melancarkan promosi Malaysia sebagai destinasi rawatan hepatitis C yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Mohd Daud Mohd Arif.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kajian penggunaan kombinasi ubat Ravidasvir dan Sofosbuvir terbukti berkesan sehingga 97 peratus dalam merawat hepatitis C dengan kesan sampingan yang amat rendah.
"Sebelum ini, rawatan yang memerlukan pelesenan wajib ini hanya ditawarkan di hospital awam, dan kini ia boleh dilakukan di hospital swasta menggunakan pelesenan sukarela," katanya sambil menambah Kementerian Kesihatan juga sedang mengesan lebih 400,000 pesakit hepatitis C dalam negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!