Kerajaan campuran: Tawaran terbaik pembangkang untuk rakyat

 Jamil Khir Baharom
Jamil Khir Baharom
A
A
A

ALOR SETAR - Cadangan pembentukan kerajaan penyatuan ummah antara UMNO dan Pas adalah tawaran terbaik pembangkang bagi menunjukkan kesungguhan membela rakyat.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, usaha itu antara langkah terbaik selepas pelbagai ketidaktentuan berlaku dalam kerajaan PH dalam membela nasib rakyat dan negara.

"Ia juga antara pendekatan UMNO-Pas yang sanggup mengorak langkah memperkemaskan kekuatan pembangkang dengan mewujudkan kerajaan campuran.

“Ini satu langkah ke hadapan setelah 10 bulan negara bawah pimpinan kerajaan PH. Saya percaya usaha membentuk kerajaan campuran dilihat rakyat sebagai kesungguhan pembangkang untuk berkhidmat kepada mereka secara lebih berkesan,” katanya.

Jamil Khir berkata, sekiranya kemenangan PRK DUN Semenyih dan Parlimen Cameron Highlands menjadi ukuran, jelas menunjukkan rakyat sedang membuat perbandingan antara PH dan pembangkang.

“PH kini berada pada posisi terendah pada mata rakyat jika mengambil kira trend dan pola pengundian bagi mengukur sejauh mana tahap kebolehlaksanaan manifesto dan janji PH. Rakyat juga sedang menilai kemampuan pentadbiran negara, terutama menguruskan ekonomi dan kos sara hidup rakyat,” katanya.

"Selepas BN berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti kemenangan lebih besar serta menang bergaya di Semenyih, hanya dalam tempoh 10 bulan, ia adalah suatu kejayaan buat pembangkang. Kemenangan ini dianggap luar daripada kebiasaan, rakyat sudah buat pilihan, kini yang ditunggu adalah DUN Rantau,” katanya.

Kelmarin, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan kerjasama antara UMNO dan Pas diperkukuh menerusi kerajaan campuran dikenali sebagai kerajaan penyatuan ummah, di empat buah negeri, iaitu Terengganu, Pahang, Kelantan dan Perlis.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!