'Saya tidak perlu ada di sini kalau tidak mahu ikut peraturan'
KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menegur sikap beberapa ahli Parlimen yang tidak mengikut peraturan ketika ingin mencelah selain tidak ‘menghormati’ kedudukannya sebagai pengerusi mesyuarat.
Jelasnya, semua ahli Parlimen yang ingin mencelah atau berbahas perlu meminta kebenarannya terlebih dahulu bagi memastikan sesi persidangan berjalan lancar.
“Sebenarnya saya tidak perlu pun ada di sini kerana semua tidak mahu ikut peraturan. Jadi (baik) saya bersara pergi balik sahajalah. Jadi bebas untuk semua (untuk mencelah).
“Pencelahan itu saya akan bagi tidak ada masalah. Kalau hendak bahas sikit bolehlah kalau ada masa tapi bangun tidak minta kebenaran, berbahas kemudian ada yang bahas (ambil kesempatan) tapi dia minta penjelasan, pandai. Jadi sikit-sikit saya OK, kalau ada masa.
“Saya ada tujuh kementerian lagi hari ini. Jadi minta kerjasama. Kalau tidak, tidak payah saya ada kat sini. Biarlah bahas sampai pukul 2 hingga 3 pagi pun,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Azhar membuat teguran itu susulan beberapa ahli Parlimen mencelah ketika sesi pengulangan Bajet 2022 oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berlangsung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!