Morales semakin berbisa selepas berjaya turunkan berat badan
KERJA keras Romel Morales yang menurunkan berat badannya sebanyak 8 kilogram pada awal musim nyata membuahkan hasil apabila penyerang Kuala Lumpur City FC itu kini kian berbisa di pentas Piala Malaysia 2021 selepas meledak sembilan gol.
Perkara itu dikongsikan ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak, sambil menyifatkan apa yang terjadi pada Morales adalah di atas usahanya sendiri selepas dia turut mengubah posisi pemain berkenaan dari seorang pemain tengah ke penyerang.
Tambah Hodak, beliau sememangnya tidak menjangkakan perubahan ketara yang ditunjukkan Morales di pentas TM Piala Malaysia berbanding di saingan Liga Super apabila penyerang dari Colombia itu sekadar menjaringkan lima gol.
“Morales memang asalnya seorang pemain tengah tetapi cara permainannya, dia tak suka untuk bertahan dan saya meletakkannya selaku penyerang ekoran kami tidak ada sesiapa untuk bermain di posisi berkenaan.
“Sejak dari awal dia diturunkan sebagai penyerang, dia sendiri berusaha menurunkan berat badan iaitu dalam 8 kilogram sejak Januari lalu, situasi itu menjadikan dia lebih berbahaya.
“Dalam bola sepak, ada kalanya sesetengah perkara tidak boleh dinyatakan apabila melihat dia berterusan menjaringkan gol tetapi apa yang pasti, segala kerja kerasnya membuahkan hasil.
“Tidak dinafikan faktor tuah menyebelahinya dan tiap kali dia mendapat ruang biarpun dari jauh, saya selalu arahkan dia untuk lepaskan rembatan kerana apa sahaja dia lakukan pasti akan membuahkan jaringan, itu tandanya seseorang penyerang itu sedang berada di kemuncak prestasi.
“Dia seorang yang sangat kuat daripada fizikal, teknik yang bagus serta mampu memegang bola untuk jangka masa lama, dia seorang pemain yang mungkin dipertimbangkan dalam skuad negara,” katanya.
Penyerang berusia 24 tahun itu meledak satu jaringan penting bersama KL City apabila membenam cabaran Selangor FC, 2-0 pada suku akhir pertama, Ahad lalu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Kedua-dua pasukan akan berentap sekali lagi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Khamis ini pada peringkat suku akhir kedua.
Apa diperkatakan Bojan itu diperakui Morales yang berkata dia turut berdisiplin mengawal cara pemakanannya sekaligus berasa lebih cergas sepanjang 90 minit beraksi bersama pasukan.
“Masa awal musim datang dulu, psikologi saya sangat berbeza dengan sekarang dan apabila saya berjaya menurunkan berat seperti yang diharapkan jurulatih, saya rasa sangat gembira.
“Saya juga semakin ambil berat terhadap soal pemakanan dan situasi itu nyata membantu saya beraksi dengan baik pada tiap perlawanan.
“Harapan saya adalah untuk membantu pasukan dan tanpa rakan-rakan, tidak mungkin saya boleh menjaringkan gol dalam kebanyakan aksi yang kami lalui,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!