Kerangka undang-undang perubahan iklim dijangka siap awal 2022
KUALA LUMPUR - Kerangka undang-undang berkaitan perubahan iklim dijangka siap awal tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman.
Beliau menjelaskan, kerangka undang-undang berkenaan yang masih dalam fasa awal itu bakal dijadikan asas kepada pembangunan Akta Perubahan Iklim di negara ini.
“Ia dijangka dibentangkan di Parlimen setelah setiap proses penggubalannya dilaksanakan mengikut proses perundangan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Selasa.
September lepas, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, kementerian itu sedang merangka peraturan serta akta bagi mengawal perubahan iklim dan pemanasan global yang melanda negara.
Menurut Tuan Ibrahim, tindakan itu diambil memandangkan Malaysia belum mempunyai akta seperti itu dan beberapa mekanisme dirancang untuk melaksanakannya.
Sementara itu, ketika bangun mencelah sesi penggulungan Mansor, Yeo Bee Yin (PH-Bakri) bertanya mengenai rancangan kerajaan dalam memastikan sasaran menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon pada 2050.
Mansor dalam jawapannya berkata, Kementerian Alam Sekitar dan Air sentiasa berkerjasama dengan agensi-agensi lain yang terlibat terutama agensi penyelidikan dan institusi pengajian tinggi untuk merangka hala tuju sasaran itu.
"Target (Sasaran) ditetapkan itu menunjukkan yang kerajaan memang komited (untuk mencapai matlamat itu) walaupun Malaysia bukan anggota negara NDC (Sumbangan Nasional Ditetapkan)," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!