PRN Melaka: 89.9 peratus tunai tanggungjawab undi awal
MELAKA - Sejumlah 89.9 peratus atau 10,390 orang telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi tersebut terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis.
“Hari ini telah berlangsung proses mengundi awal bagi PRN Melaka ke-15 yang bermula pada jam 8 pagi.
“Sejumlah 89.9 peratus atau 10,390 orang pengundi yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ikmalrudin berkata, SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik sepanjang tempoh pengundian awal pada Selasa.
“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, piihak berkuasa tempatan,
media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama serta sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” ujarnya.
Pada Isnin, Ikmalrudin dilaporkan berkata, seramai 11,557 orang pemilih akan mengundi awal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melibatkan sebanyak 31 pusat pengundian yang akan dibuka seawal jam 8 pagi.
Menurutnya, jumlah tersebut terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 polis.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!