Guna bahan mudah terurai ganti beg plastik

Bee Yin (tengah) menyampaikan plak penghargaan kepada pembentang seminar kelestarian alam, Pengarah Jabatan Lanskap Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Zuraidah Sainan.
Bee Yin (tengah) menyampaikan plak penghargaan kepada pembentang seminar kelestarian alam, Pengarah Jabatan Lanskap Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Zuraidah Sainan.
A
A
A

MUAR - Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) bakal memperkasakan bahan gantian sebagai alternatif menggantikan penggunaan plastik bertujuan mengurangkan pencemaran daripada sumber terbabit.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, kaedah itu bakal dilaksanakan bermula tahun depan, sekali gus membuktikan usaha pihaknya untuk memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.

“Apabila kita menilai dari segi aspek pencemaran, kita dapati penyumbang terbesar adalah daripada penggunaan beg plastik sekali guna. Walaupun terdapat pencemaran disebabkan oleh mikro plastik dan mikro bead, namun ia bukan penyumbang terbesar kepada pencemaran kerana punca terbesar adalah daripada penggunaan beg plastik terbabit.

“Justeru kita akan beri fokus utama berkaitan penggunaan beg plastik ini dan sekarang ini kita beri tumpuan dalam usaha mengurangkan penggunaan, guna semula dan kitar semula (3R) beg plastik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Seminar Kelestarian Alam anjuran Majlis Perbandaran Muar (MPM) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, semalam.

Menurutnya, kementerian memberi fokus mencari bahan yang lebih mudah terurai bagi menjamin ekosistem persekitaran.

“Bukan sahaja 3R sahaja tetapi ‘replace’ (gantikan beg plastik) iaitu bagaimana kita boleh menggunakan bahan lain yang lebih mudah terurai. Itu adalah fokus utama kementerian pada tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Bakri berkata, Mestecc juga sedia bekerjasama dengan kementerian lain yang mungkin berhadapan dengan masalah yang sama terutama dalam mendapat maklum balas mengenai isu pencemaran terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan bekerjasama bukan hanya di peringkat kementerian tetapi juga jawatankuasa khas yang turut disertai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Isu pencemaran ini adalah tanggungjawab kedua-dua kementerian ini kerana KPKT adalah dari segi pengurusan sisa pepejal yang baik bagi mengelakkan bahan itu masuk ke laut dan Mestecc pula lebih kepada soal teknologi dan dasar.

“Kita akan bekerjasama dengan kementerian lain termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Sektor perikanan juga antara bidang yang menjadi ‘mangsa’ kepada pencemaran disebabkan plastik ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!