Kos mengerjakan ibadah haji dijangka meningkat tahun hadapan
KUALA LUMPUR - Kos mengerjakan ibadah haji dijangka meningkat berikutan perkembangan terkini berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan ketat yang dikuatkuasakan Kerajaan Arab Saudi, bagi membendung penularan Covid-19 dalam kalangan jemaah haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, pihak Lembaga Tabung Haji (TH) akan memaklumkan kos haji untuk musim 1443H/2022 apabila telah dimuktamadkan.
“Ia termasuk suntikan vaksin, keperluan ujian PCR (ujian tindak balas berantai polimerase) untuk masuk ke Arab Saudi serta penjarakan fizikal dan lain-lain langkah keselamatan semasa di Tanah Suci,” katanya dalam jawapan yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.
Menurutnya, TH sedang menyemak dengan terperinci kos-kos yang terkesan akibat kadar inflasi serta peraturan dan cukai baharu di Arab Saudi termasuk caj visa haji yang diperkenalkan kerajaan itu pada musim haji 1441H/2020, selain kenaikan kadar cukai tambah nilai (VAT) di Arab Saudi daripada lima peratus kepada 15 peratus bermula Julai tahun lepas.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai kos baharu untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah yang dijangka meningkat susulan perubahan prosedur SOP yang ketat dikuatkuasakan kerajaan Arab Saudi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!