Aura pemimpin jadi taruhan calon

No Image Caption
A
A
A

BAHANG kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berbaki hanya beberapa hari sahaja lagi kian terasa menjelang tarikh pembuangan undi pada 20 November ini.

Menerusi kempen pada kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat beberapa penetapan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi melaksanakan pilihan raya dalam suasana negara sedang menjalani proses pemulihan daripada pandemik Covid-19.

Tidak dinafikan, setiap calon pada kali ini berdepan kesukaran dalam menyampaikan agenda masing-masing kepada rakyat ekoran daripada kekangan SOP ditetapkan SPR itu.

Susulan penetapan baharu itu, beberapa pihak menyatakan bantahan berhubung pelaksanaan SOP berkenaan yang dianggap menyukarkan kempen khususnya bagi memperkenalkan calon masing-masing dalam PRN kali ini.

Malah, ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan juga mendesak kerajaan supaya menyemak SOP PRN Melaka dengan memberikan sedikit kelonggaran ketika proses berkempen.

Situasi ini juga mungkin telah membuatkan beberapa parti bertanding memilih pendekatan untuk menggunakan imej atau aura pemimpin yang mempunyai nama-nama besar untuk membantu kempen buat calon bertanding.

Sebagai contoh, kem Perikatan Nasional (PN) lebih banyak memaparkan wajah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam poster kempen PRN kali ini.

Walaupun pemimpin Bersatu itu tidak bertanding dalam PRN ini, namun poster wajah Muhyiddin dikatakan lebih banyak dipaparkan dalam kempen berbanding calon mereka yang bertanding.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, strategi PN di Melaka itu adalah bagi membawa mesej jelas agar rakyat perlu memilih PN yang telah membawa perubahan besar dalam negara sejak gabungan itu dibentuk dua tahun lalu.

“Saya kira tidak salah untuk kita menonjolkan tokoh besar PN yang terbukti telah membawa satu perubahan yang besar dalam tempoh dua tahun sejak PN terbentuk.

“Jadi ini satu strategi untuk memperlihatkan bahawa Muhyiddin mempunyai dukungan dalam kalangan anak-anak muda yang akan mewarisi kepimpinan negara akan datang,” katanya.

Poster boy parti

Secara asasnya, aura atau imej dibawa seseorang pemimpin besar itu mungkin dapat membantu sesebuah parti bagi meraih sokongan rakyat seperti mana yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Tidak dinafikan, aura bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada ketika itu telah banyak membantu peralihan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) sekali gus berjaya membentuk kerajaan di negara ini.

Tidak terkecuali parti-parti lain yang turut mempunyai wajah 'poster boy' dalam menarik keyakinan rakyat kepada parti masing-masing.Pakatan Harapan sendiri contohnya tidak ketinggalan menggunakan aura Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memikat hati pengundi Melaka.

Berbeza dengan Barisan Nasional (BN), selain membawa aura bekas Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak, parti itu turut sempat membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turun ke bumi Hang Tuah beberapa hari lalu.

Yang pasti pada akhirnya, rakyat mahu melihat calon bertanding untuk turun padang mendekati mereka bagi mengenali bakal pemimpin di kawasan itu dan agenda yang ingin dibawa.

Rakyat kini semakin bijak memilih dan menginginkan pemimpin yang benar-benar dapat berkhidmat buat mereka.

* Asyraf Muhammad ialah Wartawan Sinar Harian Selangor/KL

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!