PRN Melaka: Peratusan turun mengundi awal rekod 89.9 peratus
PADA Selasa, seawal 7:45 pagi rakyat negeri Melaka yang tergolong dalam pengundi awal mula turun mengundi di 31 pusat pengundian yang mula beroperasi jam 8 pagi Selasa.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 11,557 orang pemilih akan mengundi awal yang melibatkan 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 polis.
Sejumlah 89.9 peratus atau 10,390 orang telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, pengundi tersebut terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis.
Proses pengundian itu disaksikan ejen calon dan pemerhati pilihan raya yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR).
Mengulas lanjut, Ikmalrudin berkata, SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik sepanjang tempoh pengundian awal pada Selasa.
Dalam pada itu, kudung sebelah kaki tidak menghalang Pegawai Trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Sanip Tukiman, 56, menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Selasa.
Sanip yang kehilangan kaki kiri akibat kemalangan jalan raya enam tahun lalu berkerusi roda mengundi di Dewan Serbaguna IPK Melaka pada jam 10 pagi.
Bagaimanapun pegawai itu yang dibantu petugas SPR di pusat undi bersyukur kerana proses mengundi tidak mengambil masa lama.
Selain itu, Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Muhammad Rafiq Sambin, 26, berkata, proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dan mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Sementara itu, Nur Hidayah Aziz, 30, juga lega apabila urusan pengundian awalnya selesai.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!