Jangan jadi penghutang PTPTN yang lalai
HUTANG tetap hutang. Dan hutang perlu dibayar. Itulah akad atau perjanjian antara peminjam dan pemberi pinjaman.
Di Malaysia apabila Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditubuhkan pada tahun 1997, ia bertujuan membantu seramai mungkin pelajar terutamanya anak-anak bumiputera dalam meneruskan pengajian tinggi tanpa membebankan ibu bapa.
Tiada lagi kisah ibu bapa terpaksa bergolok gadai tanah untuk memasukkan anak ke universiti atau kolej.
Pinjaman yang diberikan bukan sekadar hanya melibatkan yuran pengajian, bahkan mencakupi kos hidup untuk setiap semester.
Namun, ketika PTPTN menjadi talian hayat sewaktu bergelar siswa, ia kemudian dianggap membawa beban selepas bergelar graduan.
Oleh kerana PTPTN bukanlah beroperasi seperti sebuah bank yang boleh menarik kereta atau ah long yang melemparkan cat merah di depan pintu kediaman, maka ramai graduan menjadi penghutang yang lalai.
Ramai yang mengambil mudah, malah meletakkan pinjaman PTPTN dalam sebagai senarai terakhir keperluan bulanan untuk membayar hutang.
Ia menyebabkan PTPTN terpaksa melakukan pelbagai langkah dan strategi daripada memberi surat, menelefon sehinggalah menstruktur pembayaran jika graduan masih belum bekerja.
Sekitar hujung tahun 2000, PTPTN terpaksa mengambil langkah drastik tetapi jauh lebih lembut daripada bank-bank apabila menyekat graduan gagal bayar hutang ke luar negara.
Natijah, walaupun ada yang mengkritik strategi itu tetapi apabila diberi sedikit 'hukuman' maka ramai graduan mula membuat bayaran.
Malah, apabila kerajaan memberi pelbagai diskaun, rekod kutipan PTPTN mencecah RM3.985 bilion pada tahun 2017.
Sehinggalah pada tahun 2018, apabila pinjaman PTPTN dijadikan modal dan gula-gula politik dengan janji hutang itu dihapuskan, maka kutipan PTPTN mula merosot teruk.
Namun ternyata janji memansuhkan hutang PTPTN bukanlah mudah untuk dilaksanakan.
Dan kini, akhirnya PTPTN perlu merangka pelbagai langkah baharu dalam memastikan peminjam tidak culas dalam pembayaran.
Dengan tindakan undang-undang mungkin langkah terakhir terhadap peminjam yang liat dan tegar, mungkin ia satu 'wake up call' kepada semua untuk kembali melangsaikan hutang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!