Ubah pasaran berbentuk monopolistik kepada kompetitif
SHAH ALAM - Intervensi dari kerajaan secara berterusan amat penting dalam memastikan struktur pasaran yang berbentuk monopolistik dapat diubah kepada pasaran kompetitif dalam negara ini.
Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, ia berikutan struktur pasaran tersebut memerlukan jangka masa yang panjang untuk memperbetulkannya.
“Intervensi sudah tentu kita perlukan daripada pihak kerajaan tetapi intervensi langsung kerajaan boleh beri gangguan kepada pasaran pula. Jadi kita bimbang itu berlaku.
“Kita umpama tarik rambut dalam tepung.
“Yang paling ideal, kita menggalakkan lebih banyak peniaga lain masuk ke pasaran (monopoli) tersebut supaya ia lebih kompetitif,” katanya.
Beliau berkata ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Edisi ke-304 yang bertajuk 'Menangani Kos Sara Hidup Keluarga Malaysia’ pada Selasa.
Turut menjadi panelis, Pengarah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Atan Sapian dan Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Professor Dr Madya Kartini Aboo Talib manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Mohd Yusof berpandangan bahawa tidak ada sokongan atau keiltizaman yang kuat untuk melakukan ke arah pembentukan pasaran kompetitif.
“Jadi kita harapkan bergerak ke hadapan, akan berlaku sesuatu dari mengubah struktur pasaran kita yang lebih bersifat monopolistik terutamanya makanan dan minuman kepada yang lebih kompetitif.
“Contohnya, sektor (pasaran) kompetitif yang mudah adalah pakaian sebab banyak peniaga pakaian di luar sana, ia menyebabkan harga pakaian murah.
“Ini yang perlu kita lihat secara menyeluruh,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!