Ketulan emas terbesar di Alaska mahu dilelong RM4.17 juta
JUNEAU - Salah satu ketulan emas terbesar yang pernah ditemui di Hemisfera Barat mahu dijual kepada para pembeli dengan jangkaan bahawa ia dilelong pada harga AS$1 juta (RM4.17 juta) di Dallas, Amerika Syarikat (AS) pada bulan depan.
Ketulan emas tersebut ditemui oleh seorang pelombong emas, Barry Clay dekat bandar Ruby pada tahun 1998 selepas menolak tanah dengan menggunakan jentolak di sepanjang Lombong Swift Creek di Alaska.
Ia seberat lebih sembilan kilogram (kg) dan lebih 90 peratus ketulan batu yang ditemui itu adalah emas serta mempunyai saiz sebesar kepala kanak-kanak.
Beratnya ringan sedikit berbanding ketulan emas 'Boot of Cortez' yang ditemui di Mexico yang hampir 10kg.
Clay dilaporkan telah menanam ketulan emas itu dekat sebatang pokok dan kemudian memikirkan apa yang perlu dilakukan terhadap penemuan batu berharga itu.
Akhirnya, dia menjual ketulan emas itu kepada seorang pemilik tetapi kini mahu dilelong menerusi Firma Heritage Auction bersama beberapa serpihan emas lain. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!