'Berbaki dua hari, ini fasa kritikal berkempen'

Mas Ermieyati bersama penduduk ketika bersarapan di sebuah warung di Tanjung Bidara, Alor Gajah pada Rabu.
Mas Ermieyati bersama penduduk ketika bersarapan di sebuah warung di Tanjung Bidara, Alor Gajah pada Rabu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyifatkan hari berkempen berbaki dua hari sebagai fasa kritikal.

Mas Ermieyati yang mesra dipanggil 'Kak Emy' berkata, pada fasa terakhir ini beliau perlu menyusun atur segala strategi bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berpihak kepadanya.

Menurutnya, janji kepada pengundi kawasan itu antaranya akan memastikan agenda ekonomi dan sosial membabitkan golongan wanita dan belia tidak dipinggirkan termasuk memperkasakan wanita di DUN tersebut.

"Turut diberi perhatian adalah usaha meningkatkan sektor pelancongan memandangkan kawasan ini mempunyai pesisiran pantai menarik sekali gus mampu memberi peluang pekerjaan serta peluang perniagaan kepada rakyat.

"Jadi saat ini saya harus bertemu seramai mungkin pengundi seperti bersarapan di kedai-kedai makan kerana kita akur dengan SOP (prosedur operasi standard) tidak boleh bersemuka dengan pengundi di rumah," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, biarpun kebanyakan pengundi DUN itu mengenalinya, namun beliau tidak boleh terus leka dengan kelebihan tersebut.

"Saya menerima maklum balas baik daripada pengundi-pengundi ketika menyapa mereka di kedai-kedai makan dan mereka menyatakan mahu memilih kepimpinan wanita.

"Namun saya tidak anggap itu sambutan pengundi tapi sebenarnya harapan besar pengundi untuk saya menjadi wakil rakyat dan memperjuangkan nasib mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai serangan peribadi bertubi-tubi yang dilemparkan terhadapnya, Mas Ermieyati yang gemar memakai tudung bawal itu berkata, itulah asam garam dunia politik dan harga yang harus dibayar oleh orang politik.

"Saya anggap serangan peribadi itu bukanlah kita dah biasa namun janganlah melampaui batas kerana masing-masing ada kehidupan," katanya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!