Suri rumah boleh carum Perkeso tahun depan
KOTA BHARU - Golongan suri rumah boleh membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Insuran Pekerjaan (SIP) bermula tahun hadapan.
Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, caruman itu termasuklah di bawah 20 sektor pekerjaan iaitu pemakanan, perikanan, pertanian dan sebagainya.
“Mereka yang duduk rumah pun (suri rumah) kita nak lindung di bawah Perkeso supaya mereka turut menerima manfaat yang disediakan ini,” katanya semasa turun padang menyampaikan cek bayaran Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) dan Lawatan Prihatin Rakan SIP Prihatin Perkeso Kelantan kepada Nor'Aini Zurahim, 57, di Kampung Paya Bemban di sini pada Selasa.
Penyampaikan cek itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas, Rohani Ibrahim.
Nor'Aini merupakan pesakit kanser payu dara tahap empat dan kehilangan pekerjaannya sebagai kerani di sebuah syarikat keselamatan sejak Januari lalu dan kini menumpang hidup dengan ahli keluarga.
Menurutnya, SIP untuk suri rumah itu telah dimasukkan dalam Bajet 2022 yang dilihat bakal memberi dimensi baharu kepada golongan berkenaan.
Katanya, Perkeso Kelantan akan melipatgandakan promosi dalam menarik golongan suri rumah untuk mencarum bersama agensi berkenaan.
Nora berkata, sejak Januari hingga September tahun ini sebanyak RM4 juta SIP telah dibayar kepada pencarum.
Katanya, sepanjang tahun lalu sebanyak RM6 juta telah dibelanjakan untuk bayaran tersebut.
"Perkeso mengesan masih ada syarikat atau majikan yang enggan membuat caruman SIP kepada pekerja.
"Kita akan giatkan lagi sesi penerangan, dan jika ada yang ingkar, Perkeso Kelantan akan ambil tindakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!