Dr. Yadzil yakin boleh majukan DUN Bemban
KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban merupakan antara kawasan panas dan menjadi tumpuan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada kali ini apabila melibatkan pertandingan sehingga lima penjuru.
Calon daripada Perikatan Nasional (PN), Dr Mohd Yadzil Yaakub akan bertanding melawan Datuk Koh Chin Han (Barisan Nasional), Tey Kok Kiew (Pakatan Harapan), Azmi Kamis (Bebas) dan Ng Choon Koon (Bebas).
Ikuti temubual Wartawan Sinar Harian, Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid mengenai persaingan lima penjuru dan perubahan yang akan dibawa oleh pegawai perubatan ini di DUN Bemban.
SINAR HARIAN: Apa perasaan saudara apabila dicalonkan untuk bertanding?
DR MOHD YADZIL YAAKUB: Saya akui sangat teruja namun ini satu amanah yang perlu saya pikul walaupun belum bergelar Yang Berhormat (YB). Saya membawa nama baik PN untuk memastikan kemenangan. Rasa berdebar juga ada, apatah lagi sewaktu penamaan calon saya berdepan empat orang pencabar yang semuanya kategori ’heavyweight’.
Bagaimana Dr Yadzil melihat persaingan lima penjuru ini?
Saya anggap ia suatu persaingan yang sihat, mereka adalah pencabar yang hebat, mempunyai kedudukan yang baik dalam parti masing-masing, berpengalaman dalam bidang politik, pernah menjadi calon dan pernah memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Bagaimanapun, saya tidak mengambil mudah. Saya adalah salah seorang calon Melayu dan antara yang ditunggu-tunggu, saya pernah berkhidmat di sini hampir 12 tahun dan telah menjalankan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan sebelum ini, ia mungkin satu kelebihan buat saya. Bezanya, belum terlintas di fikiran dinamakan sebagai calon. Saya tidak akan mengaku kalah dan teruskan sehingga saat diumumkan sebagai pemenang.
Apa yang dapat saudara katakan mengenai kerusi DUN Bemban ini?
DUN Bemban ini kerusi yang unik. Sebelum ini dipegang oleh ADUN-ADUN berketurunan Cina. Kebanyakan penduduk di sini inginkan seorang wakil rakyat Melayu kerana majoriti penduduk di sini adalah orang Melayu. Para penduduk di sini sangat positif, tidak terlalu memandang kepada parti dan ingin mengetahui siapa calon mereka. Saya juga dapat merasakan mereka mahukan kerajaan yang stabil. Saya anggap ini persaingan sihat dalam PRN Melaka kali ini.
Bagaimana pula dengan suasana kempen norma baharu?
Memang ada halangan tetapi ada juga kebaikan. Jadi, saya gunakan platform sebagai doktor dan orang yang telah lama berkhidmat di sini menyantuni mereka di tempat-tempat awam seperti di surau atau masjid, kedai makan, restoran, menyertai aktiviti bergotong royong, bersukan dan sebagainya. Arahan dibuat untuk elak kes positif Covid-19 naik, tetapi ada pihak yang berpendapat ini ’double standard’. Kita faham di fasa keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN), orang ramai boleh melakukan aktiviti-aktiviti awam seperti kenduri dan sebagainya, tetapi tidak dalam urusan kempen pilihan raya, jadi kena akur.
DUN Bemban ada banyak ruang dan peluang untuk dibangunkan. Dalam pasca Covid-19, ramai yang hilang pekerjaan dan sektor ekonomi ditutup atau gulung tikar. Jadi, saya memikirkan bagaimana cara untuk kita membantu rakyat. Kena bentuk peluang pekerjaan berkaitan pelancongan supaya orang luar mengenali Bemban. Tempat-tempat peranginan dan taman tema serta kawasan bersejarah perlu dibangunkan di sini. Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) juga perlu ada di sini kerana ia pemangkin kepada pembangunan.
Saya membayangkan alangkah bagus jika ada hospital swasta di sini kerana di kawasan Bemban atau Jasin, bukan semua orang kampung. Ada juga pegawai kerajaan dan swasta yang bekerja di sini tetapi tinggal di Jasin. Mereka mempunyai panel kesihatan syarikat yang boleh membuat rawatan di hospital swasta. Ini opsyen yang boleh kita beri kepada penduduk untuk memilih tempat bagi mendapatkan rawatan. Saya juga ingin kembangkan sektor kesihatan di Melaka sebagai pelancongan kesihatan seperti Hospital Mahkota yang dapat menarik ramai penduduk dari Indonesia datang ke Melaka untuk mendapatkan rawatan.
Apa yang menarik minat Dr Yadzil untuk menjadi wakil rakyat?
Sebagai doktor naluri dan sifatnya adalah membantu tanpa mengambil kira siapa yang perlu dibantu. Saya juga dididik untuk bekerja dengan ikhlas. Sepanjang bertugas saya sentiasa memikirkan tentang amanah dan tanggungjawab untuk diselesaikan, bukan mengejar glamor atau kepentingan peribadi. Itu mungkin sifat yang saya jadikan ukuran dan layak menjadi YB. Walaupun belum menjadi YB, saya sendiri telah lama menyertai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, turun ke lapangan membantu dari aspek kesihatan dan kebajikan. Saya boleh dikatakan orang tempatan yang telah lama berkhidmat di sini dan insya-ALLAH ramai yang mengenali saya secara langsung atau tidak langsung.
Nama: Dr Mohd Yadzil Yaakub
Umur: 43
Pekerjaan: Pegawai perubatan
Keluarga: Anak pertama dari empat orang adik-beradik.
Pendidikan: Ijazah Perubatan Universiti Udayana, Bali, Indonesia
Jawatan Dalam parti:
- Naib Pengerusi Perikatan Nasional Melaka (2021)
- Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional Melaka (2021)
- Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka (2020-kini)
- Ketua Bahagian Bersatu Jasin (2020-kini)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!