Michael Gan tumpu bangunkan ekonomi penduduk
Hadir selaku calon 'underdog' dan bakal bertanding di kubu kuat Pakatan Harapan (PH), Gan tidak gentar malah bersedia dengan kerangka untuk memastikan rakyat Ayer Keroh mendapat manfaat sekiranya PN berjaya menawan kerusi itu.
Ikuti temubual Wartawan Sinar Harian, Muhammad Zakwan Nazaraly bersama calon PN Ayer Keroh ini.
SINAR HARIAN: Bagaimana Datuk Seri melihat kempen secara norma baharu di PRN Melaka?
GAN: Situasinya sangat mencabar apatah lagi ini kali pertama setiap parti berkempen dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat. Jadi, semua calon termasuk saya sendiri perlu menyesuaikan diri dan memaksimumkan sebaik mungkin saluran media sosial. Memang kami tidak boleh pergi secara menyeluruh seperti mana kebiasaan kempen. Kami juga tidak boleh berkempen dari rumah ke rumah. Bagi saya itu bukan satu halangan dan kami akan memastikan pengundi menerima mesej kami. Apapun kita beruntung kerana platform media sosial boleh dicapai secara meluas.
Apa pembaharuan yang akan dibawa oleh Datuk Seri sekiranya berjaya menawan DUN Ayer Keroh?
DUN Ayer Keroh mempunyai banyak potensi selain ada beberapa masalah yang perlu diatasi segera. Banjir kilat sering melanda kawasan ini kerana bentuk geografi kawasan yang berbukit bukau dan jalan di bawah bukit. Masalah ini bukan senang untuk diatasi dan perlukan satu kajian mendalam dengan pihak-pihak terlibat. Namun, saya akan cuba berusaha demi keselesaan rakyat Ayer Keroh. Saya juga melihat aspek pelancongan sebagai perkara paling utama untuk dibangunkan di sini sekali gus membantu ekonomi penduduk setempat. Ayer Keroh adalah pintu masuk ke Melaka dan menjadi tumpuan pelancong. Jadi, ikon pelancongan perlu ada di Ayer Keroh termasuk mengenali budaya tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India. Apabila wujud pelancongan ekonomi rakyat juga akan melonjak dan mampu menjana pendapatan melalui perniagaan. Saya juga akan cuba menggalakan pelaburan dari luar ke Ayer Keroh.
Orang muda menjadi antara penentu di kawasan Ayer Keroh. Bagaimana Datuk Seri mahu menambat hati mereka?
Orang muda adalah aset masa depan negara. Suara orang muda sudah tentu akan sentiasa didengari dan dijadikan panduan dalam memajukan Ayer Keroh. Jika pengundi Ayer Keroh memberi peluang kepada saya menjadi wakil rakyat, satu blueprint akan kami rangka dengan mengambil kira pandangan orang muda termasuk pelajar universiti. Saya juga akan memastikan capaian internet di sini mudah. Saya bercadang untuk jadikan satu bangunan terbiar di kawasan ini sebagai pusat media sosial penduduk terutama orang muda.
Bagaimana Datuk Seri melihat persaingan dengan dua lagi calon terutama penyandang?
Kawasan kubu kuat pembangkang, sudah pasti ini cabaran besar buat saya. Tambahan pula calon PH sudah tiga penggal berturut-turut menjadi wakil rakyat di sini. Sebagai orang baharu dan 'underdog' tentu bukan senang unutk tembusi kubu kuat mereka. Bagaimanapun itu bukan sebab untuk saya cepat mengalah. Saya akan cuba sedaya upaya dan berharap para pengundi membuat pilihan tepat dengan memberi peluang kepada saya di sini.
Rakyat sebenarnya sudah muak dengan politik lompat ini dan terpaksa mengharungi pilihan raya. Jadi, rakyat perlu buat satu keputusan yang bijak dengan memberi peluang kepada PN mentadbir Kerajaan Melaka. Kami mahu pastikan rakyat tidak terus terluka dengan janji kosong dan politik lompat yang telah ditunjukkan oleh BN dan PH sebelum ini. Malah, kami juga akan menjanjikan satu kepimpinan dan kerajaan yang terbaik untuk rakyat Melaka.
Apa pandangan Datuk Seri mengenai manifesto PN dan adakah ia cukup untuk menarik pengundi?
Manifesto PN berbeza dengan manifesto yang dibuat oleh BN dan juga PH. Manifesto kami adalah satu ikrar dan 'Aku Janji Khas' untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan bersih, adil dan bebas rasuah sekiranya terpilih menerajui Melaka. Elemen itu tidak ada dalam manifesto BN dan PH yang saya kira memberi kelebihan kepada PN. Malah, rekod positif Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri sudah terbukti dan menjadi elemen terbaik untuk meraih kepercayaan rakyat. Beliau berjaya mengemudi negara dengan baik selain mengumumkan banyak bantuan kepada rakyat. Ia bukti bagaimana kerajaan PN berjaya mentadbir dan tidak cakap kosong. Ia juga sebagai satu bukti untuk pengundi di DUN Ayer Keroh memilih saya dan PN kali ini. Inilah peluang untuk rakyat Melaka buat pilihan.
Nama: Datuk Seri Michael Gan Peng Lam
Tarikh lahir: 12 Disember 1960
Asal: Melaka
Pendidikan: Diploma Perniagaan
Kerjaya: Pengarah Urusan Syarikat
Lantikan dalam GLC dan agensi: Pengerusi Zon Melaka, Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM)
Jawatan dalam politik: Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (2018 hingga kini)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!