Lawatan kebajikan tautan kasih warga IPD Klang Selatan
KLANG - Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli telah melakukan lawatan kebajikan terhadap tiga anggotanya yang sakit, di sini pada Selasa.
Anggota yang dilawat ialah Sarjan Zulkipli Nordin (Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam), 55, yang menghidap barah otak, Sarjan Mohamad Jamil Ma’at (Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam), 58, menghidap kencing manis manakala Sarjan Ruslan Aziz (Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam), 56, mengalami strok ringan.
Shamsul Amar berkata, lawatan kebajikan itu bagi menziarah dan memberi sokongan moral kepada pesakit selain memastikan aspek kebajikan anggota terus terpelihara.
"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah menyumbangkan buah tangan dan wang tunai hasil kutipan derma warga IPD Klang Selatan.
"Lawatan kebajikan tautan kasih ini sebagai tanda keprihatinan yang menitikberatkan kebajikan pegawai dan anggota selain mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga polis," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Hadir sama pada lawatan itu adalah Asisten Superintendan (ASP) Pentadbiran IPD Klang Selatan, ASP Mohd Shahrizan Ali, pegawai kanan serta anggota IPD Klang Selatan.
Sebelum itu, pada hari yang sama dalam ucapan di Perhimpunan Bulanan IPD Klang Selatan, Shamsul Amar mengajak semua warga IPD Klang Selatan untuk menghayati tiga fokus utama Ketua Polis Negara.
Katanya, tiga fokus itu adalah memperkasakan integriti, memantapkan penyampaian perkhidmatan serta mendukung dasar dan usaha kerajaan dalam mengekalkan kesejahteraan masyarakat.
"Ketiga-tiga fokus tersebut perlu diberikan perhatian serta dilaksanakan secara holistik oleh setiap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya IPD Klang Selatan ke arah merealisasikan slogan 'Sedia Berkhidmat' dan tema 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada' dalam menyampaikan perkhidmatan kepolisan kepada masyarakat dan negara," katanya.
Tambahnya, integriti mesti dibudayakan dalam kalangan pegawai dan anggota pasukan.
"Harus diingat bahawa kerapuhan integriti bukan sahaja boleh menjejaskan prestasi individu yang terbabit, tetapi ia juga mampu meleburkan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!