Kes harian Covid-19 meningkat tidak jejas rancangan PPN: Muhyiddin
KUALA LUMPUR - Peningkatan kes harian Covid-19 sejak beberapa hari lalu tidak memberikan kesan kepada rancangan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia kerana peningkatan tersebut hanya melibatkan kategori satu hingga tiga, manakala bagi kategori empat dan lima (kritikal) pula tidak menunjukkan peningkatan.
“Sekarang kita lihat ada tanda peningkatan, tetapi kalau dilihat hanya pada kategori satu hingga tiga dan kategori empat hingga lima tidak sangat menunjukkan peningkatan yang begitu besar.
"Walaupun begitu ia satu perkara yang penting dan perlu diambil perhatian,” katanya pada sidang akhbar Program Pertemuan Bersama British Malaysia Chamber of Commerce (Roundtable Meeting) dan Dialog Pemulihan Negara di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menasihati rakyat Malaysia agar tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelak berlaku lonjakan kes harian Covid-19.
“SOP yang ditetapkan masih wajar dikekalkan dan dipatuhi oleh semua rakyat Malaysia.
"Setakat ini, belum ada tanda kes meningkat ini beri kesan teruk kepada industri kerana semua sektor ekonomi sudah dibuka. Kita pun tidak lagi menyekat mana-mana pihak untuk keluar 24 jam," katanya.
Tambah beliau, walaupun semua ekonomi sudah dibenarkan, namun industri yang terkesan ketika pandemik susah untuk bangkit semula.
“Mereka memerlukan banyak sokongan, bantuan dan kewangan dari segi modal dan proses.
“Jadi MPN sentiasa memberikan perhatian dan dalam mesyuarat minggu lalu pun kita ada mengambil kira beberapa pandangan. Untuk mereka ini bangkit bukan sesuatu yang mudah dan tidak dapat lihat kesan yang besar tetapi proses pembukaan ekonomi sudah bermula," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!