28 pemain dipanggil sertai kem latihan pusat Harimau Malaya
PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe telah menyenaraikan 28 pemain bagi mengikuti kem latihan pusat sebagai persediaan menghadapi Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.
Bagaimanapun, Cheng Hoe akan membawa 24 pemain bagi menggalas cabaran Harimau Malaya pada Piala Suzuki AFF kali ini yang dijadualkan berlangsung dari 5 Disember hingga 1 Januari tahun depan.
Berdasarkan senarai pemain yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebentar tadi, pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Radzak, penjaga gol Melaka United FC, Khairul Fahmi Che Mat dan kapten Kedah Darul Aman (KDA) FC, Baddrol Bakhtiar antara tonggak berpengalaman.
Begitupun, agak mengejutkan apabila beberapa pemain utama JDT seperti dua pertahanan kental - Corbin Ong dan Matthew Davies serta penjaga gol berpengalaman, Mohd Farizal Marlias tiada dalam senarai.
Dalam tugasan kali ini, tujuh pemain JDT disenaraikan termasuk penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula serta tonggak pertahanan, Shahrul Saad yang kembali pulih daripada kecederaan.
Mengikut perancangan, hanya pemain yang pasukannya sudah terkeluar daripada saingan Piala Malaysia - sama ada peringkat kumpulan dan suku akhir akan melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin ini.
Kelompok pertama itu kemudiannya akan disusuli pemain yang pasukannya tersingkir pada peringkat separuh akhir Piala Malaysia untuk melapor diri pada Ahad.
Seterusnya, pemain yang pasukannya layak ke final Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung 30 November akan melapor diri pada Rabu, 1 Disember nanti.
Bagi pemain-pemain yang berpangkalan di luar negara, mereka akan melaporkan diri mengikut tarikh pelepasan yang diberikan oleh kelab masing-masing.
Cheng Hoe hanya akan menyenaraikan seramai 24 pemain untuk skuad akhir ke Piala Suzuki AFF 2020 yang mana skuad Harimau Malaya dijadual berlepas ke Singapura pada 3 Disember.
JADUAL PERLAWANAN
Kumpulan B
Isnin, 6 Disember 2021
KEMBOJA lwn MALAYSIA
Stadium Bishan, Singapura, 5.30 petang
Khamis, 9 Disember 2021
MALAYSIA lwn LAOS
Stadium Bishan, Singapura, 5.30 petang
Ahad, 12 Disember 2021
VIETNAM lwn MALAYSIA
Stadium Bishan, Singapura, 8.30 malam
Ahad, 19 Disember 2021
MALAYSIA lwn INDONESIA
Stadium Nasional, Singapura, 8.30 malam
SEPARUH AKHIR
22 & 23 Disember 2021 dan 25 & 26 Disember 2021
Stadium Nasional, Singapura
FINAL
29 Disember 2021 dan 1 Januari 2022
Stadium Nasional, Singapura
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!