Tiada kandungan tidak halal dalam vaksin
TAMBUN - Semua vaksin yang digunakan di negara ini bebas daripada sebarang kandungan bahan tidak halal.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kajian terperinci dilakukan ke atas setiap pengeluaran vaksin dan terbukti tiada sebarang elemen tidak halal digunakan.
“Vaksin di Malaysia yang kita ketahui secara formalnya tidak mengandungi bahan tidak halal.
"Jadi walaupun ada cadangan pembinaan kilang vaksin halal, bukanlah bermaksud vaksin digunakan sebelum ini tidak berstatus halal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan kilang vaksin halal pertama di negara ini yang bakal dibina di Negeri Sembilan.
Cadangan disuarakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh itu antara lain untuk meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap vaksin.
Boon Chye berkata, kementerian mengambil sikap terbuka terhadap cadangan semua pihak dalam menyediakan perkhidmatan perubatan di negara ini.
“Jadi sesiapa pun yang mahu menubuhkan kilang sama ada untuk pengeluaran vaksin atau lain-lain produk perubatan, kita amat mengalu-alukannya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian memberi jaminan semua bekas pesakit Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) di Seremban yang ditutup Januari lalu akan dapat menjalani rawatan sewajarnya sama ada di pusat dialisis swasta atau hospital kerajaan di negeri itu.
"Buat masa ini, rawatan paling hampir di Hospital Seremban, namun kapasiti di hospital itu juga tidak mencukupi. Lain-lain hospital adalah di Jelebu dan Kuala Pilah, tetapi sebahagian pesakit terpaksa pula menempuh perjalanan yang agak jauh untuk jalani rawatan.
“Kita masih mencari jalan penyelesaian yang mungkin dan boleh dilakukan bagi menangani masalah ini, apa yang kementerian lakukan sekarang adalah untuk memastikan semua pesakit yang perlu jalani dialisis akan terima dialisis,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan dua bekas pesakit pusat berkenaan masing-masing berusia 74 dan 69 meninggal dunia dan pada 15 Januari lalu, Kementerian Kesihatan membatalkan lesen PHM berkuat kuasa serta merta kerana melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].
Terdahulu, beliau ditemui pada Sambutan Hari Pembantu Perubatan 2019 peringkat Kebangsaan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Sultan Azlan Shah.
Dalam ucapannya, beliau berkata, skop tugas Penolong Pegawai Perubatan kini semakin bertambah dengan wujudnya kepakaran dan sub kepakaran yang baharu di hospital.
"Kerajaan mengambil inisiatif yang dilaksanakan mulai tahun ini iaitu tawaran pelantikan secara kontrak kepada 3,135 graduan ILKKM termasuk 1,292 pelatih Penolong Pegawai Perubatan yang menamatkan latihan pada 2017.
“Selain itu, bagi profesion Penolong Pegawai Perubatan, Lembaga Pembantu Perubatan secara berterusan mengenalpasti kekosongan perjawatan untuk melaksanakan proses kenaikan pangkat kepada yang layak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!